KUALA LUMPUR – Susulan penularan wabak Covid-19, banyak syarikat kawalan perosak yang menjalankan kerja-kerja disinfeksi tidak menang tangan berikutan menerima permintaan yang tinggi termasuk daripada masjid dan surau.
Menurut Pengurus Syarikat Bug Ezz Pest Resources, Indra Sharil Abd. Rahman, pihaknya turut membahagikan kerja-kerja tersebut kepada beberapa syarikat pembersihan lain memandangkan tidak mampu memenuhi kesemua permintaan pada masa ini.
“Kami adalah sebuah syarikat swasta yang menjalankan kerja-kerja pembasmian, jadi ini merupakan antara langkah yang diambil bagi mengurangkan pembiakan kuman.
“Semasa proses tersebut berjalan, setiap pekerja diwajibkan memakai sut kelengkapan pelindung diri (PPE) walaupun kawasan tersebut tidak mempunyai sebarang kes berkaitan Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalankan proses nyahkuman di Surau Balai Islam, Bulatan Pahang hari ini.
Mengulas lanjut, Indra Sharil berkata, proses nyahkuman yang dijalankan pihaknya bergantung kepada keluasan sesebuah masjid mahu pun surau.
Tambah beliau, pihaknya mengambil masa kira-kira dua jam setengah bagi menyahkuman di dalam masjid serta kawasan sekeliling manakala untuk sebuah surau mereka memperuntukkan masa selama satu jam setengah.
“Seeloknya, proses pembasmian kuman ini dilakukan secara kerap kerana kita sedia maklum bakteria ini berada di mana-mana sahaja selain mengambil kira kapasiti orang awam yang keluar masuk ke tempat tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai dapat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan wabak Covid-19.
Katanya, jika rakyat patuh terhadap PKP sepanjang tempoh dua minggu ini, berkemungkinan jumlah kes melibatkan wabak tersebut juga dapat diturunkan.
“Rakyat Malaysia perlu dengar saranan kerajaan supaya duduk di rumah dan beri orang seperti kami ini untuk bertugas jalankan pembasmian kuman,” ujarnya.- MalaysiaGazette