Home Nasional Anggota bersenjata hanya untuk pertahan diri – PAT

Anggota bersenjata hanya untuk pertahan diri – PAT

Tan Sri Affendi Buang

KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak seharusnya mempertikaikan kehadiran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Affendi Buang berkata, beliau kesal dengan sikap tidak beretika orang awam yang mempertikaikan dalam laman sosial tentang anggotanya yang bersenjata menjalankan tugas.

“Itu (bersenjata) hanya untuk self defence (mempertahankan diri) sahaja, kalau lima orang anggota bertugas di situ, hanya seorang pegawai sahaja yang bersenjata, kita bukan menggunakan senjata pun (menasihati orang awam).

“Semalam lagi saya sudah menjelaskan bahawa rakyat bukan musuh kami (anggota keselamatan), kita cuma memantau keadaan pergerakan awam supaya boleh dielakkan seboleh-bolehnya, musuh sebenar kita adalah Covid-19.

“Memang setengah orang ambil kesempatan untuk tidak dengar nasihat. Sebenarnya mereka perlu faham (PKP) adalah untuk kebaikan semua dan kita tetap komited untuk terus menasihati orang awam.

“Kami mahu memastikan mereka kurang keluar rumah dalam situasi getir ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields petang tadi.

Terdahulu beliau bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hadir memantau pengoperasian beberapa unit dron milik ATM dan PDRM yang akan digunakan di 12 kawasan yang menjadi tumpuan pergerakan awam seluruh negara.

Tambah Affendi, beliau berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi anggota ATM bagi membantu PDRM sejak Ahad lalu.

“Saya berpuas hati sangat dengan anggota saya yang menjalankan tugas dengan baik dan polis juga gembira dengan kerjasama itu tetapi ada pihak masih mempertikaikan kehadiran kita, ada yang tularkan di media sosial kononnya tentera menggunakan kekerasan, salah guna kuasa dan sebagainya.

“Itu saya rasa tidak adil, kehadiran kami untuk selamatkan negara dan lindungi rakyat. Adakah kita hendak tengok apa yang berlaku di Eropah yang mana mereka tidak boleh berbuat apa-apa hadapi Covid-19?

“Adalah lebih baik bertindak dan mencegah sekarang dan untuk itu rakyat perlu berhenti mempertikaikan tugas tentera dan beri kerjasama kepada pihak keselamatan (duduk di rumah),” ujarnya.

Ditanya samada terdapat sebarang ujian saringan dilakukan ke atas anggotanya, Affendi berkata, terdapat anggota ATM menjalani ujian itu.

“Ada. Kita pun manusia biasa. Ada yang pernah buat kenduri dan kita memantau (keadaan anggota), tetapi (bilangan) tak besar, dalam kem kita kawal pergerakan betul-betul, jumlah sikit sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jangan risau panglima,ramai rakyat sebenarnya faham situasi kini,yg sengaja tularkan berita fitnah dan cuba memburuk2an pihak ATM itu sbnrnya adalah pecacai2 dn baruah2 d4pig shj,mereka ambil peluang ini utk cuba hasut rakyat utk membenci dan beri persepsi buruk kpd pihak ATM.. mereka itu dari dulu sblm memegang tampuk kerajaan (hanya sementara) hinggalah setelah menjadi pembangkang semula kerjanya hanya menyebar berita fitnah shj,menang menjadi kerajaan pun dgn hasil fitnah juga..

Comments are closed.