Home Ekonomi Bank Rakyat sedia RM200j kemudahan pembiayaan individu, perniagaan

Bank Rakyat sedia RM200j kemudahan pembiayaan individu, perniagaan

Bank Rakyat

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat memperuntukan RM200 juta untuk kemudahan pembiayaan bagi membantu individu dan perniagaan yang terjejas daripada kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang berterusan dengan menawarkan pelbagai bantuan kewangan.

Kemudahan itu dibuat menerusi kempen ‘Bank Rakyat Cares’ yang tertumpu kepada tiga produk Bank Rakyat iaitu Pembiayaan Berjangka-i untuk usahawan mikro, Pembiayaan Berjangka-i untuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan koperasi serta Kad Kredit-i.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kemudahan pembiayaan itu bagi membantu usahawan dan koperasi untuk menangani masalah kewangan mereka dan membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek akibat kesan wabak tersebut.

“Kempen yang bermula dari 23 Mac sehingga 30 September 2020 diharap dapat membantu usahawan dan koperasi mengekalkan kesinambungan perniagaan masing-masing dan dapat melonjakkan semula ekonomi negara sepanjang tempoh yang mencabar ini,” tambah beliau.

Kempen ini akan memberi manfaat kepada hampir lapan juta pelanggannya termasuklah pelanggan Kad Kredit-i yang diberikan diskaun kadar keuntungan sebanyak 50 peratus apabila membuat pengeluaran tunai.

Kempen ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed membolehkan pelanggan mempunyai lebihan tunai tetapi dikenakan kadar keuntungan yang lebih rendah daripada kadar keuntungan sedia ada.

”Inisiatif ini membolehkan Bank Rakyat membantu pelanggan kad kreditnya yang 30 peratus daripadanya terdiri daripada golongan B40 untuk menguruskan keperluan harian mereka,” katanya.

Bank Rakyat turut menawar moratorium pembayaran balik pembiayaan selama enam bulan kepada semua individu dan perniagaan yang terjejas seperti yang diumumkan pada 8 Februari lalu.

Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares (Usahawan Mikro) adalah terbuka kepada:
• Semua sektor yang layak termasuk borong/runcit, pertanian dan berasaskan pertanian, pelancongan dan kesihatan, pengangkutan serta perkhidmatan
•Perniagaan yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000.00 bagi tempoh sehingga lima tahun
•Bank menawarkan penangguhan sementara sehingga sembilan bulan bagi bayaran balik pembiayaan bulanan bagi pemilik perniagaan yang terjejas
•50% yuran guaman ditanggung oleh bank.

Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares (PKS dan Koperasi)
•Terbuka kepada semua sektor yang layak termasuk borong/runcit, pertanian dan berasaskan pertanian, pelancongan dan kesihatan, pengangkutan serta perkhidmatan
•Perniagaan yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM200,000.00 bagi tempoh sehingga lima tahun
•Bank menawarkan penangguhan sementara sehingga sembilan bulan bagi bayaran balik pembiayaan bulanan bagi pemilik perniagaan yang terjejas
•50% yuran guaman ditanggung oleh bank.

PengeluaranTunai Kad Kredit-i
•Terbuka kepada pemegang kad utama dan tambahan Kad Kredit-i kecuali pemegang Kad Kredit-i Korporat
•Tiada jumlah minimum atau had yang dikenakan atas jumlah urus niaga pengeluaran tunai
•Kadar keuntungan yang dikenakan bagi urus niaga pengeluaran tunai dikurangkan sebanyak 50% sepanjang tempoh kempen
•Pengeluaran tunai adalah tertakluk pada had kredit sedia ada

Pada masa yang sama, usahawan juga boleh memohon Kemudahan Bantuan Khas di bawah tabung Bank Negara Malaysia yang terbuka kepada PKS bagi membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas oleh wabak Covid-19. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pelbagai cara kerajaan jalankan untuk membantu rakyat ketika ini dan penularan wabak covid-19. Yang menyedihkan dan terus dilanda kemiskinan duit perbelanjaan adalah dari golongan pekerja bergaji harian, pesara yang telah tiada lagi wang simpanan dalam KWSP dan rakyat yang telah disenarai hitam dalam sistem perban negara seperti citos, ccris dan bankrup.
    Mereka ini sentiasa dalam tekanan hidup dan terus hilang punca mencari pendapatan.
    Adakah golongan ini terus dipersalahkan atas kesilapan mereka yang terdahulu atau adakah permasalahan golongan ini ada dalam daya pemikiran kerajaan.
    Diharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian kepada golongan ini dan berikan peluang kedua untuk mereka ini merubah kehidupan dari kesilapan. Mereka juga insan yang perlu untuk meneruskan kehidupan.

Comments are closed.