KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berpendapat kerajaan sepatutnya memberi saringan percuma secara besar-besaran kepada rakyat Malaysia.
Ini kerana, pada pandangannya, saringan besar-besaran adalah langkah paling efektif untuk melawan Covid-19.
Menurutnya, walaupun kerajaan mendakwa kos melakukan saringan adalah sekitar RM700 seorang tetapi pulangannya jauh lebih besar berbanding langkah-langkah lain yang diambil oleh kerajaan.
Oleh sebab itu, beliau berkata, saringan percuma perlu dijadikan keutamaan oleh kerajaan ketika ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, Korea yang mempunyai penduduk seramai 51 juta orang telah berjaya mengawal kenaikan kes Covid-19 tanpa melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan yang ketat.
Setakat ini, Korea Selatan sudah membuat lebih 300,000 saringan berbanding 15,196 saringan di Malaysia bersamaan sekitar RM10.6 juta.
Najib berkata, jika kerajaan boleh menurunkan kos kepada RM500 seorang, jumlah kos untuk membuat saringan untuk sejuta rakyat adalah RM500 juta.
”Jumlah nilai KDNK Malaysia adalah RM1.4 trilion tahun lepas atau sekitar RM3.8 bilion sehari.
”Sebab itu, apakah kos RM500 juta berbanding pulangan yang diperolehi jika kita mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kita?
”Lagipun, kos setiap saringan Covid-19 sedang menurun pada ketika ini kerana semakin banyak syarikat dalam dunia sedang memperkenalkan kit ujian Covid-19 yang semakin mudah diguna dan semakin murah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Oleh itu, beliau menyarankan kerajaan supaya berusaha untuk mengurangkan kos saringan serta masa untuk membuat setiap saringan dan meningkatkan kapasiti untuk membuat saringan dan memudahkan cara rakyat mendapat saringan.
Katanya, kerajaan boleh berpakat dengan rangkaian syarikat perubatan swasta untuk bersama-sama memberi saringan percuma tanpa syarat kepada setiap orang di Malaysia termasuk warga asing di negara ini.
Selain itu, kerajaan juga perlu memberi jaminan bahawa sesiapa yang dikehendaki kuarantin diri secara mandatori di rumah sendiri atau di pusat kuarantin kerajaan selepas diuji akan dibantu dari segi kewangan dan bekalan makanan serta barangan keperluan dalam tempoh tersebut.
”Dan sesiapa yang melanggar tempoh kuarantin ini akan dipenjarakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette