WASHINGTON – Kerosakan ekonomi global ekoran pandemik koronavirus Covid-19 boleh menjadi buruk atau lebih buruk daripada krisis kewangan global pada tahun 2008 dan menyebabkan kemelesetan ekonomi dunia.
“Tinjauan untuk pertumbuhan global: untuk 2020 negatif – kemelesetan sekurang-kurangnya sama buruknya semasa krisis kewangan global atau lebih buruk, tetapi kami menjangkakan pemulihan pada tahun 2021,” kata Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa, Kristalina Georgieva.
Amaran itu dikeluarkan susulan langkah-langkah pencegahan koronavirus di seluruh dunia menyebabkan orang ramai diarah berada di dalam rumah, menyebabkan industri pelancongan, restoran dan perhotelan mengalami penurunan pendapatan.
Malah, banyak kilang besar terpaksa ditutup.
Bagaimanapun, beliau meramalkan ekonomi maju mempunyai peluang yang lebih baik untuk bertindak balas dengan betul terhadap kesan koronavirus, sementara pasaran baru muncul mungkin akan terjejas teruk oleh wabak tersebut.
Georgieva menegaskan, perkara terbaik yang perlu dilakukan untuk ekonomi untuk pulih selepas kejutan baru adalah memberi tumpuan kepada mengekang penyakit dan menguatkan sistem penjagaan kesihatan negara masing-masing.
“Kos manusia akibat pandemik koronavirus ini sudah tidak dapat diukur dan semua negara perlu bekerjasama untuk melindungi rakyat dan membataskan kerosakan ekonomi,” kata Georgieva.
Ketua IMF juga memuji tindakan fiskal yang luar biasa serta langkah-langkah lain untuk meredakan dasar monetari yang telah dilakukan oleh beberapa negara untuk mengurangkan impak pandemik ke atas ekonomi mereka.
Walau bagaimanapun, Georgieva berkata, lebih banyak langkah-langkah diperlukan daripada kerajaan dari segi fiskal.
Beberapa negara, seperti Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom telah mengumumkan program bantuan untuk menyokong perniagaan negara dalam situasi yang sukar ini, termasuk pemberian kredit, pinjaman kerajaan, dan mengurangkan kadar kredit. – MalaysiaGazette