Home Dunia COVID-19: Indonesia batal peperiksaan sekolah, tidak galak pulang ke kampung sambut Aidilftri

COVID-19: Indonesia batal peperiksaan sekolah, tidak galak pulang ke kampung sambut Aidilftri

JAKARTA – Indonesia membatalkan Ujian Nasional atau peperiksaan persekolahan tahun 2020 dan tidak menggalakkan orang ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri pada Mei ini, bagi mengekang penularan virus COVID-19.

Kes positif COVID-19 di Indonesia terus mencatatkan peningkatan dengan kematian setakat hari ini berjumlah 55 kes.

“Kes positif kini berjumlah 686, tambahan sebanyak 107 kes, berbanding 579 kes semalam. Jumlah kematian setakat hari ini, meningkat kepada 55 kes (semalam 49), kes kematian terbanyak adalah di Jakarta (31 kes),” kata Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yutianto yang disiarkan di saluran Youtube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia.

Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia Nadiem Makarim berkata Ujian Nasional tahun 2020 untuk Sekolah Dasar (di Malaysia Ujian Penilaian Sekolah Rendah), ujian nasional di peringkat Sekolah Menengah Pertama (di Malaysia peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), dan ujian nasional Sekolah Menengah Atas (seperti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia), dibatalkan dan perkara itu telah dipersetujui Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (Parlimen Indonesia).

“Pembatalan ini disebabkan faktor keamanan (keselamatan), kesihatan dan timbulnya risiko kesihatan (akibat virus COVID-19), kerana Ujian Nasional 2020 melibatkan lapan juta pelajar,” katanya dalam siaran di televisyen tempatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pengangkutan Darat Kementerian Pengangkutan, Budi Setyadi berkata pemerintah Indonesia tidak menggalakkan aktiviti “bermudik” atau balik kampung, untuk orang ramai pulang menyambut Aidilfitri pada Mei nanti.

“Saya menggesa semua orang supaya tidak kembali ke kampung halaman mereka sehingga keadaan kembali pulih. Mudik melibatkan pergerakan besar-besaran dan boleh menyebarkan virus,” katanya dipetik media tempatan.

Setiap kali sambutan Aidilfitri, Indonesia, negara berpenduduk lebih 270 juta orang itu, akan menyaksikan pergerakan besar-besaran aktiviti ‘bermudik’, orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing.

Achmad Yurianto sebelum ini menyatakan, dikhuatiri lebih 600,000 warga Indonesia berisiko positif virus COVID-19.

Jumlah kes positif, katanya, boleh atau berkemungkinan meningkat secara drastik berdasarkan pengesanan kontak mereka yang positif dengan orang sekitar mereka sebelum ini (pengesanan kontak sebelum mereka yang positif itu disahkan positif).

— BERNAMA