Home Nasional ‘Frontliner’ klinik kesihatan KL dirai

‘Frontliner’ klinik kesihatan KL dirai

KUALA LUMPUR – Seramai 50 ‘frontliner’ di Klinik Kesihatan Jalan Temerloh diraikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Hasil kerjasama dengan Masala Wheels, sumbangan makan tengahari disalurkan kepada mereka sebagai tanda penghargaan kepada semua petugas yang berkorban masa dan nyawa demi kesejahteraan rakyat dalam menangani wabak Covid-19.

Sumbangan itu telah disampaikan kepada ketua klinik, pakar perunding perubatan keluarga, Dr. Baizury Bashah.

“Dengan adanya sumbangan daripada orang ramai, mereka dapat membantu lebih ramai orang terutamanya warga emas, mereka yang terjejas pendapatan akibat situasi Covid-19 semasa, serta petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan khidmat kepada rakyat terus berjalan,” kata Wan Ahmad Fayhsal.

Jumlah itu tidak termasuk kakitangan klinik dan sektor pembersihan yang merangkumi 300 kakitangan.

Dalam lawatan itu, Wan Ahmad Fayhsal turut dimaklumkan mengenai situasi semasa yang sedang dihadapi oleh para pekerja hadapan.

Antaranya, masalah kekurangan peralatan dan kekurangan makanan pada waktu malam. – MalaysiaGazette