Home Utama ‘Jangan ada kebuluran, jangan ada tak boleh makan nasi’

‘Jangan ada kebuluran, jangan ada tak boleh makan nasi’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary (kiri) bersama Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jakim, Aziz Mohamad (dua kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Hakimah Mohd Yusoff (dua kanan) memberi sumbangan dalam tabung pada Majlis Pelancaran Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim di Kompleks Islam Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 24 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini melancarkan Tabung Musa’adah Covid-19 bagi membantu kerajaan meringankan beban mana-mana pihak yang terjejas akibat pandemik itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keutamaan bantuan itu diberikan kepada petugas barisan hadapan termasuk kakitangan Jakim seperti pengurusan jenazah.

“Kita faham suasana kehidupan yang cukup mencabar di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berada di rumah. Maka ketika itulah bantuan perlu disalurkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.

“Tujuan tabung ini untuk menyalurkan bantuan secepat mungkin berdasarkan angka yang menggerunkan dan kita menginsafkan kesukaran dan kesusahan rakyat,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Islam hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim bagi mengumpul sumbangan orang ramai.

Tabung itu bagi memberi bantuan bersesuaian kepada pihak-pihak terjejas akibat wabak Covid-19 melalui dana terkumpul.

Tabung itu diharapkan dapat membantu penjawat awam dan pegawai kader Jakim yang bertugas di hospital yang terkesan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Orang ramai yang ingin menyumbang, boleh berbuat demikian melalui nombor akaun 1602 701000 1528 Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Tabung Bencana Alam sama ada melalui transaksi atas talian perbankan Internet, deposit di mesin ATM dan sebagainya dengan rujukan Rujukan Derma Covid-19.

Dalam pada itu, Jakim juga akan membuat bayaran penuh sebanyak RM800 seorang kepada 4,000 guru takmir bagi bulan Mac ini.

“Kita telah memberi kemudahan kepada guru takmir berjumlah 4,000 orang. Untuk bulan Mac, kita akan bayar penuh RM800 dan kita akan mudahkan pembayaran, maknanya nak isi borang yang terbaik akan difikirkan oleh Jakim,” katanya.

Selain itu, katanya guru Kafa juga akan mendapat bayaran penuh RM1,000 bagi Mac ini membabitkan 35,000 petugas.

“Kita faham suasana dan kita cuba memenuhi hasrat kerajaan iaitu membantu sebaik mungkin

“Jangan ada kebuluran, jangan ada yang tidak boleh makan nasi, sebab itu kita akan guna tabung ini dan kita akan gerakkan dengan sebaik mungkin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette