KUALA LUMPUR- Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. mengakui sudah tidak mampu meningkatkan bekalan produknya dalam pasaran ketika ini.
Ini kerana kilang-kilang pengeluar roti terkemuka itu sudah mencecah nilai ambang maksimum pengeluaran.
Bagaimanapun, pembuatan roti serta penghantarannya bersama produk-produk lain keluaran syarikat tersebut akan tetap diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak 18 Mac hingga 30 Mac ini.
Dengan itu, ia menasihatkan pengguna supaya bertenang dan membeli mengikut keperluan dan pengambilan harian mereka sahaja.
“Gardenia bersama-sama anda dalam keadaan ini dan yakinlah kami sedang berusaha, beroperasi 24/7 untuk meningkatkan pengeluaran kami bagi memenuhi keperluan pengguna.
“Terima kasih atas kerjasama dan sokongan berterusan anda semua. Untuk maklumat lanjut sila e-mel kami di [email protected],” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tinjauan di beberapa pasaraya dan kedai serbaneka di sekitar bandar raya mendapati roti-roti keluaran Gardenia dan beberapa jenama lain sangat laris di luar kebiasaannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan diaktifkan.- MalaysiaGazette