Home Nasional Remaja 17 tahun antara 4 lelaki ditahan rempuh sekatan jalan raya

Remaja 17 tahun antara 4 lelaki ditahan rempuh sekatan jalan raya

Anggota polis dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia menjalankan sekatan jalan raya semasa Ops Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan. - foto AFIQ RAZALI, 22 MAC 2020

BATU PAHAT –  Empat lelaki termasuk remaja berusia 17 tahun ditahan kerana merempuh sekatan jalan raya susulan perintah kawalan pergerakan di Parit Raja, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Azhan Abdul Halim berkata semua lelaki warga tempatan berusia antara 17 hingga 19 tahun itu ditahan setelah didapati gagal mematuhi PKP yang dikeluarkan kerajaan selain menghalang penjawat awam melakukan tugasan.

Katanya, dalam kejadian 3.15 pagi semasa anggota polis dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan tugasan pemeriksaan PKP di sebuah lokasi sekatan jalan raya, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux berada dalam keadaan mencurigakan, selain membuat pusingan U bagi mengelak diperiksa dalam sekatan itu.

“Sebuah MPV telah bertindak mengejar dan memberikan arahan untuk memberhentikan kenderaan dengan menggunakan pembesar suara namun suspek enggan bekerjasama malah bertindak menghimpit kenderaan polis beberapa kali.

“Kenderaan yang dipandu suspek juga turut bertindak merempuh sekatan jalan raya di Parit Raja dan hampir merempuh kenderaan Team Task Force Covid-19 yang membuat sekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Azhan lagi, kenderaan pacuan 4 roda berkenaan berjaya ditahan di Persimpangan Jalan Ayer Hitam-Yong Peng dengan bantuan unit MPV yang lain, di mana berlaku pergelutan setelah suspek enggan memberikan kerjasama ketika tangkapan dilakukan.

Katanya ketika pemeriksaan dilakukan terhadap kenderaan berkenaan tiada barangan yang menyalahi undang-undang ditemui dan pihaknya percaya punca mereka melarikan diri adalah disebabkan pemandu tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Bagaimanapun hasil daripada ujian saringan air kencing mendapati salah seorang penumpang positif dadah dan kes disiasat mengikut Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

“Mereka ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Polis 1967 kerana melanggar sekatan jalan raya oleh Polis,” kata beliau.

Azhan juga berkata siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Elok tangkap dan sumbat dalam penjara bagi yg sdah cukup umur,,,,,,dan masukkn sekolah jahat bagi yg blm cukup umur.. kecil2 sudah belajar jadi gangster

Comments are closed.