WASHINGTON – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo mengkritik China yang didakwa tidak memberi pendedahan sebenar maklumat yang diperlukan oleh dunia untuk mengekang dan mencegah penularan koronavirus.
Dalam temubual dengan program radio Watch Washington, Pompeo mengulangi tuduhan terdahulu bahawa kelewatan Beijing berkongsi maklumat mengenai virus itu akan mencipta risiko kepada seluruh dunia.
“Kebimbangan saya adalah tentang tiada penjelasan, tidak dimaklumkan oleh Parti Komunis China yang masih menyangkal maklumat yang diperlukan dunia supaya kita dapat mencegah kes-kes lanjutan atau sesuatu seperti ini daripada berulang lagi,” tambahnya.
Pompeo juga menuduh Iran dan Rusia tidak memberi maklumat sebenar mengenai virus itu.
”Rusia, Iran dan China secara berterusan tidak menyalurkan maklumat sebenar, sebaliknya mereka mendakwa tentera AS yang menjadi punca. Mereka juga mendakwa ia mungkin bermula dari Itali.
”Semua perkara ini tidak bertanggungjawab,” kata Pompeo.
Namun, dalam temubual itu Pompeo tidak lagi merujuk koronavirus itu sebagai ‘virus China’ atau ‘virus Wuhan’ selepas label yang diberikan sebelum ini menyebabkan Beijing marah.
Tegasnya, penting bagi dunia untuk mengetahui apa yang sedang berlaku sekarang.
“Ini adalah krisis global yang berterusan dan kita perlu memastikan setiap negara telus, berkongsi apa yang sebenarnya berlaku, supaya komuniti global, penjagaan kesihatan global, komuniti penyakit berjangkit dapat mula bekerja dengan ini cara holistik,” ujarnya. – MalaysiaGazette