Home Sukan Batal Piala FA, bukan Piala Malaysia

Batal Piala FA, bukan Piala Malaysia

K. Rajagobal

KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada kejohanan Piala Malaysia akan dipertandingkan atau pun tidak masih belum ditentukan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memandangkan kalendar bola sepak Malaysia dijangka menghadapi kesukaran untuk ditamatkan seperti biasa pada tahun ini.

Cakap-cakap di dada akhbar mahupun di media sosial, sepertinya kejohanan bola sepak antara yang tertua di rantau Asia ini mungkin terpaksa ‘dikorbankan’ bagi memberi laluan kepada saingan Liga Super dan Piala FA yang jadualnya sudah pun tertangguh akibat penularan wabak COVID-19 yang semakin kritikal.

Bagaimanapun, bekas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menyarankan kepada pihak MFL supaya memilih untuk membatalkan pertandingan Piala FA supaya Piala Malaysia dapat diteruskan pada musim ini.

“Mungkin MFL boleh korbankan Piala FA untuk Piala Malaysia, kerana bagi saya Piala Malaysia ada nilai sejarah dan tradisi tersendiri. Debaran perlawanan akhir Piala Malaysia sentiasa memuncak setiap tahun, dan keghairahan penyokong terhadap pertandingan ini, tidak boleh dinafikan.

“Tetapi Piala FA juga pertandingan yang menyeronokkan, saya percaya MFL dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), pasti jumpa cara terbaik mendepani perkara ini Keutamaan sekarang adalah semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam menghadapi Covid-19,” kata jurulatih berusia 53 tahun itu kepada Bernama.

Rajagobal pernah menjulang Piala Malaysia sebagai pemain ketika beraksi untuk pasukan Selangor pada tahun 1978 dan 1979. Namun begitu sepanjang bergelar jurulatih masih belum ada rezeki untuk beliau menjuarainya bersama mana-mana pasukan.

Jelasnya langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan perlawanan tetapi ia turut dapat memendekkan tempoh perjalanan pertandingan dan ia membolehkan semua kejohanan termasuk Piala Malaysia dapat terus dianjurkan.

Setiausaha Agung Pesatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam sebelum ini menyatakan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada MFL untuk menentukan status Piala Malaysia sama ada akan terus dipertandingkan atau sebaliknya.

Dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia, pertandingan itu hanya pernah dihentikan pada tahun 1942 hingga 1947 apabila meletuskanya perang dunia kedua yang turut melibatkan seluruh semenanjung Tanah Melayu. – MalaysiaGazette