Home Utama Boleh tangguh bayaran balik pinjaman mulai 1 April ini

Boleh tangguh bayaran balik pinjaman mulai 1 April ini

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia jatuh 2.97 peratus kepada AS$104.7 bilion setakat 29 Jun lalu berbanding AS$107.9 bilion pada 14 Jun.
Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Bermula 1 April ini bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam-peminjam individu dan perusahaan kecil sederhana dalam menghadapi suasana yang mencabar ini.

Keputusan itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan selepas mengadakan sesi perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.

Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April sehingga 31 Disember 2020, katanya.

Sektor korporat pula, kata Perdana Menteri, boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.

Katanya, ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing.

Semua langkah-langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan melibatkan jumlah nilai sekurang-kurangnya RM100 billion.

“Ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna, dan saya amat berterima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM serta industri perbankan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah meminta Kementerian Kewangan dan BNM untuk memperincikan pengumuman ini dengan lebih mendalam agar rakyat memahami sepenuhnya manfaat yang dtawarkan.

Menurut Muhyiddin, kerajaan sedang mengkaji pelbagai cara untuk mengurangkan beban rakyat dan satu lagi pelan rangsangan ekonomi akan dilancarkan tidak lama lagi yang lebih komprehensif dan bermakna demi rakyat dan ekonomi negara.

“Kerajaan pada hari ini sentiasa mendengar permintaan dan denyut nadi rakyat. Saya sedar bahawa impak wabak Covid-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

“Rakyat pelbagai lapisan sama ada usahawan, petani, nelayan, pekerja harian tertanya-tanya akan kedudukan ekonomi mereka.

“Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini,” katanya. – MalaysiaGazette