Home Nasional Jangan halang penjawat awam jalankan tugas – KPN

Jangan halang penjawat awam jalankan tugas – KPN

Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihati supaya terus mematuhi saranan dan nasihat anggota keselamatan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malahan mana-mana individu yang merasakan dirinya kebal dan cuba mencabar pihak berkuasa dengan memaki hamun dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas perlu menghentikan perbuatan itu.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, mereka akan berdepan tindakan tegas ditahan dan dimasukkan dalam lokap.

“Bagi mereka yang ingat dirinya lagi kebal dari penyakit nak menunjukkan dia seorang gangster dan duduk lepak di padang permainan tanpa mengendahkan arahan anggota keselamatan, jangan terkejut kalau digari tangan dan dimasukkan dalam lokap,” katanya ketika ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang siarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini.

Abdul Hamid berkata, katanya setakat ini seramai 110 orang telah ditangkap kerana pelbagai kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa penguatkuasaan PKP.

Tambah beliau, kebanyakan tangkapan itu melibatkan kesalahan mencabar anggota keselamatan, memaki hamun dan kesalahan lain.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya telah bersedia untuk terus melaksanakan tanggungjawab mengawal keselamatan awam jika PKPdilanjutkan.

“Kami sudah bersedia dengan pegawai dan anggota kerahan simpanan dengan kekuatan seramai 18,000 berbanding 42,000 yang sedang bertugas di lapangan sekarang setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette