KUALA LUMPUR- Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan selama dua minggu lagi bagi memastikan pematuhan perintah tersebut mencapai tahap 100 peratus.
Selain itu, trajektori COVID-19 juga diramalkan sudah mencapai kemuncaknya.
Namun begitu, pelanjutan tempoh PKP selama dua minggu itu boleh menyebabkan kemuncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar di antara -3 peratus hingga -4 peratus relatif kepada asas 2020.
“Dalam tempoh mencabar dan tidak pernah berlaku selama ini, penting untuk kita melihat ekonomi negara bukan dari petunjuk konvensional seperti biasa.
“Memastikan pematuhan penuh PKP adalah perkara yang paling penting ketika ini.
“Ia dapat membantu ekonomi dari terus jatuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi mengurangkan kesan terhadap ekonomi, MIER mencadangkan kerajaan memperuntukkan bajet krisis luar biasa yang bersandarkan kepada kehilangan pendapatan sebanyak RM95 bilion.
Katanya, hanya RM75 bilion sahaja yang diperlukan dalam bajet tersebut kerana inisiatif bernilai RM20 bilion telah diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi bagi menangani impak COVID-19 sebelum ini.
Peruntukan tersebut adalah untuk mengelakkan banyak syarikat bankrap, kehilangan pekerjaan, penurunan pendapatan isi rumah dan kebajikan melalui sokongan perniagaan, rejuvenasi PKS serta program-program jaringan keselamatan sosial.
Dengan itu, badan penyelidikan tersebut menjangkakan kesemua output industri dan perdagangan akan melantun semula menghampiri pemulihan penuh bermula suku ketiga 2020.
Hasil kajian MIER mendapati, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia mungkin menguncup 2.9 peratus pada tahun ini manakala kehilangan pekerjaan berada dalam lingkungan 2.4 juta yang mana 67 peratus daripadanya adalah pekerja tidak berkemahiran.
Pendapatan isi rumah pula dijangka jatuh sebanyak 12 peratus atau RM95 bilion sekali gus menyebabkan penurunan teruk dalam perbelanjaan pengguna sebanyak 11 peratus walaupun secara umumnya paras harga pengguna menyusut sebanyak empat peratus. – MalaysiaGazette