Home Uncategorized 7 petugas Istana Negara positif Covid-19

7 petugas Istana Negara positif Covid-19

Istana Negara.- Gambar Hiasan.
KUALA LUMPUR- Istana Ne gara hari ini mengesahkan tujuh petugasnya positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menjalani saringan kesihatan dan pengesanan Covid-19 dan disahkan negatif.

“Lanjutan daripada proses saringan ini, Seri Paduka Baginda berdua sedang menjalani kuarantin diri selama 14 hari, mulai semalam,”  katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fadil berkata sehubungan itui, Al-Sultan Abdullah telah dinasihatkan tidak mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat mingguan Pra-Kabinet yang dijadualkan semalam dan sesi-sesi berikutnya sehingga situasi pandemik COVID-19 pulih.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pengumuman awal keputusan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 14 April ini. Seri Paduka Baginda turut berharap semua rakyat Malaysia tabah menghadapi dugaan dan terus memberi sokongan kepada petugas-petugas kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Polis ke-213 semalam, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas komitmen dan ketabahan menjalankan tanggungjawab dalam memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dipatuhi bagi membendung pandemik COVID-19 di negara ini.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, akan cadangan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara pada hari yang akan ditentukan untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

Semalam, Zulkifli dalam kenyataannya berkata menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar rakyat menunaikan solat di rumah atau tempat masing-masing bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 di seluruh negara, sekali gus menangguhkan aktiviti masjid dan surau bagi mematuhi perintah kawalan it.u

Mengenai jangkitan Covid-19 petugas Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Kementerian Kesihatan Malaysia  (KKM) sedang mengenal pasti punca jangkitan Covid-19 itu dan Pusat Kesihatan Kepong sedang mengesan semua kontak rapat dan mereka yang bertugas bersama tujuh petugas berkenaan.

“Kesemua kontak rapat dan kakitangan tersebut telah diarahkan menjalani proses saringan jangkitan Covid-19. Untuk memastikan pendedahan virus ini dapat dikawal dan dicegah di Istana Negara, kesemua kontak rapat dan kakitangan tersebut turut diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari, mulai semalam,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Istana Negara akan terus melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman yang menyeluruh mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan ditetapkan KKM.

Pihak pengurusan Istana Negara sentiasa memastikan tahap kesihatan dan persekitaran kondusif yang maksimum di Istana Negara mengikut tatacara serta panduan KKM.

“Langkah-langkah awal untuk memastikan kesejahteraan para pegawai dan petugas di Istana Negara sentiasa diberi keutamaan oleh Seri Paduka Baginda dan ia telah dilaksanakan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan.

“Istana Negara akan terus memberi bekerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan jangkitan pandemik ini dibendung dengan segera dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette