Home Ekonomi Kapasiti pelabuhan penuh, syarikat pengangkutan dibenar keluar barang

Kapasiti pelabuhan penuh, syarikat pengangkutan dibenar keluar barang

Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR – Ruang kapasiti tiga pelabuhan di negara ini sudah mencecah hampir 100% berikutan pemindahan barangan ke gudang-gudang simpanan sebelum dihantar ke destinasi akhir dihentikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Jika tidak ditangani segera, gudang-gudang ini akan penuh dan mencecah kapasiti maksima dalam minggu ini.

Pelabuhan berkenaan ialah Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Johor di Pasir Gudang

Berikutan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pelabuhan-pelabuhan berkaitan diberi pengecualian khas untuk memindahkan barangan yang bukan keperluan asas untuk dialihkan ke gudang-gudang (sementara) di luar pelabuhan dibuat serta-merta antara 27 dan 29 Mac 2020.

Perkara ini perlu diselesaikan segera supaya tidak timbul kesesakan sepanjang tempoh PKP apabila barangan
keperluan asas yang diimport mulai masuk.

”Syarikat pengangkutan yang membawa barangan diberi kebenaran untuk kerja-kerja pemindahan selama 24
jam sehari antara Jumaat, 27 Mac dan Ahad, 29 Mac ini.

”Bagi membolehkan transit dan penghantaran semua barangan, termasuk barangan keperluan (essential) dan barangan bukan keperluan dalam tempoh PKP, Polis Diraja Malaysia akan membenarkan kenderaan pengangkut barangan ini
bergerak di jalan raya antara hari Jumaat, 27 Mac dan hari Ahad, 29 Mac 2020,” katanya di sini.

Tegasnya, kenderaan-kenderaan yang membawa muatan barangan ini hendaklah mematuhi syarat-syarat sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kenyataan media Majlis Keselamatan Negara bertarikh 18 Mac 2020.

Ka Siong menambah, sektor pengangkutan begitu penting ketika PKP dikuatkuasakan dan memainkan peranan
utama bagi memastikan setiap isi rumah dapat mengakses keperluan harian mereka.

Aktiviti eksport perlu diteruskan kerana ianya sangat penting bagi memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan negara yang memerlukan barangan penting dari Malaysia juga mendapat manfaat sepenuhnya. – MalaysiaGazette