KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memulakan kempen ‘Kibar Jalur Gemilang’ sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia bersama memerangi penularan wabak Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya dalam memberi kesedaran dan galakan dalam menyokong usaha kerajaan.
”Kami berharap kempen itu mampu meningkatkan semangat patriotisme dan moral rakyat khususnya kepada para adiwira barisan hadapan yang sedang terus berjuang mengekang penularan wabak itu.
“Ia boleh dilakukan sekecil-kecil menggunakan imej Jalur Gemilang sebagai contoh ikon atau stiker di aplikasi WhatsApp serta memuat naik status melalui medium media sosial.
“Apatah lagi ketika ini penggunaan telefon pintar amat tinggi kerana rata-rata berada di dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Jalur Gemilang telah mula dinaikkan di ibu pejabat syarikat itu di Jalan Sultan Hishammuddin, dekat sini.
Pengibaran bendera itu juga akan dilakukan di semua stesen rangkaian KTMB di seluruh Semenanjung, tambah Kamarulzaman lagi.
Menurutnya, Jalur Gemilang sentiasa menjadi manifestari kesatuan dan semangat juang rakyat Malaysia melangkau zaman dan cabaran.
Inilah masanya kita lakukan penzahiran itu, apatah dalam waktu getir sebegini, tambah beliau. – MalaysiaGazette