Home Akhbar Cina Minta jangan datang ke bank untuk “urusan bukan-bukan”

Minta jangan datang ke bank untuk “urusan bukan-bukan”

Orang ramai beratur di hadapan sebuah bank sambil mematuhi arahan penjarakan sosial sebagai langkah mencegah penularan COVID-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette di Ampang, Selangor.

PULAU PINANG – Pada ketika ramai orang mengurungkan diri di rumah untuk mencegah penularan penyakit, lain pula untuk segelintir orang yang mengambil kesempatan ke bank.

Nanyang Siang Pau melaporkan, kehadiran orang ramai ke bank untuk urusan kurang penting telah memeningkan dan membimbangkan pekerja bank, terutamanya selepas beberapa kes jangkitan melibatkan bank telah dilaporkan.

“Orang ramai mengambil kesempatan tidak perlu bekerja untuk berurusan di bank dan mereka beratur tanpa menjarakkan diri.

“Keadaan ini tidak lain seperti berhimpun di bank,” kata seorang pengurus bank di Pulau Pinang.

Menambahkan kegeraman pekerja bank, apabila mereka datang bukannya untuk pengeluaran duit atau urusan penting, tetapi untuk menggantikan kad yang telah hilang sejak beberapa bulan lalu.

“Ada juga yang datang untuk belajar tentang transaksi dalam talian pada masa seperti ini. Kes-kes seperti ini hanya menambahkan keadaan yang sudah huru-hara.

“Sebagai pekerja bank, kami juga terdedah kepada risiko seperti petugas barisan hadapan yang lain,” kata pengurus bank tersebut. – MalaysiaGazette