Home Nasional PBT, bomba mula proses pembersihan, nyah cemar tempat awam, kawasan merah

PBT, bomba mula proses pembersihan, nyah cemar tempat awam, kawasan merah

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memulakan kerja-kerja pembersihan dan nyahcemar di premis awam yang berisiko tinggi, termasuk lokasi yang dikategorikan sebagai kawasan merah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pembersihan akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan badan lain selain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya diperlukan.

“Selain daripada tindakan yang dibuat oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan pihak polis dan ATM untuk mengawal Covid-19 dari terus merebak, kerajaan hari ini membuat keputusan bahawa proses pembersihan dan pencucian nyah cemar akan dilaksanakan oleh PBT dan bomba dan mungkin jika diperlukan ATM juga akan terlibat di dalam membersihkan kawasan di premis awam terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan merah,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, polis akan meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko seperti Masjid Sri Petaling dan Pasar Borong Selayang.

Memasuki minggu kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan akan membekalkan alat pengesan haba kepada semua polis yang membuat sekatan jalan raya selain memberikan setiap anggota yang bertugas topeng muka.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis memberi jaminan bahawa tiada sekatan kepada kenderaan yang membawa bekalan makanan, sebaliknya mereka akan diberikan laluan mudah.

Menurut beliau, perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador kepadanya hari ini menyangkal terdapat sekatan dilakukan ke atas kenderaan yang membawa sayur dari Cameron Highland baru-baru ini.

“Fitnah dikeluarkan (mengatakan) konon sayur tidak boleh dikeluarkan dari Cameron Highland. Itu adalah tidak benar kerana laluan mudah diberikan kepada kenderaan yang membawa makanan,” katanya. – MalaysiaGazette