WELLINGTON – Seorang lelaki yang didakwa melakukan serangan maut di dua buah masjid di Christchurch mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh.
Brenton Tarrant, 29, juga mengaku salah atas cubaan membunuh 40 orang lagi, selain satu pendakwaan berhubung keganasan.
Lelaki itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan perbicaraan sudah ditetapkan pada bulan Jun ini.
Pengakuan itu dibuat di Mahkamah Tinggi Christchurch, dengan peguam-peguamnya muncul melalui video memandangkan New Zealand mengenakan sekatan perjalanan disebabkan penularan wabak koronavirus,
Tiada orang awam dibenarkan mengikuti pendengaran semula kes Tarrant kecuali masing-masing seorang wakil daripada dua masjid yang diserang bagi mewakili mangsa-mangsa dan keluarga-keluarga terlibat.
Hakim Mander berkata: “Ia adalah mengecewakan kerana peraturan Covid-19 tidak membenarkan mangsa-mangsa dan keluarga mereka untuk berada di kamar mahkamah apabila tertuduh mengaku salah”.
Hukuman ke atas 92 kesalahan itu belum ditentukan lagi. Tarrant direman dalam tahanan sehingga 1 Mei ini. – MalaysiaGazette