Home Nasional Diskaun kadar elektrik sehingga 50%

Diskaun kadar elektrik sehingga 50%

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menambah peruntukan sebanyak RM530 juta lagi untuk memberi diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% kepada sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan itu mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan.

”Diskaun 50% akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25% bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15% bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat di sini.

Diskaun ini akan berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020.

Sementara itu, diskaun sebanyak 2% seperti dimaklumkan sebelum ini akan terus dinikmati oleh semua pengguna isi rumah.

Sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi tujuan pemberian diskaun 15% ke atas bil elektrik sektor pelancongan dan 2% bagi sektor komersial, industri, pertanian dan isi rumah di Semenanjung Malaysia mulai 1 April ini. – MalaysiaGazette