KUALA LUMPUR – Para pengguna negara ini dirayu untuk tidak melakukan pembelian panik semasa lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini kerana bekalan makanan mencukupi.
Presiden Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr George Jacob melahirkan rasa bimbang bekalan makanan akan menjadi sebaliknya jika keadaan pembelian panik itu berterusan.
Tegasnya, pengguna-pengguna sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan dalam situasi getir seperti yang berlaku pada hari ini dan bukan menambahkan masalah.
Ini kerana, jika semua mendengar nasihat kerajaan masalah-masalah membabitkan kepenggunaan dapat diatasi.
“CASSA meninjau banyak kedai dan pasar raya di Lembah Kelang dan mendapati masih berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna.
“Akibatnya, para pekedai terpaksa kerap menambah bekalan untuk memenuhi keperluan pembeli lain.
”Apa sudah jadi dengan rakyat Malaysia, langsung tidak ada sikap toleransi dengan pengguna lain.
“Jangan bersikap begitu, ketika negara dalam krisis sepatutnya kita bersama-sama bertolak-ansur. Jangan pentingkan diri sendiri kerana akhirnya ia merugikan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jacob berkata, beliau sendiri terkejut apabila ada pengguna mengambil 10 bungkus roti, membeli beras berkampit-kampit, berbungkus-bungkus gula seperti mahu membuat kenduri.
”Mustahil mereka adakan kenduri sebab kerajaan tidak benarkan, jadi untuk apa membeli secara banyak, sehingga orang lain tidak dapat membeli,” tambahnya.
Menurutnya, pengguna-pengguna Malaysia tidak perlu mencontohi pengguna-pengguna dari barat membeli barangan dengan banyak macam negara mahu perang.
”Sedarkan wahai pengguna, jika anda terus berkelakuan seperti ini, percayalah kekurangan barangan akan berlalu,” kata Jacob. – MalaysiaGazette
Dh kenapa dgn org malaysia ni?..mntk supaya kedai2, pasaraya2 buat catuan..