Home Nasional TUDM bawa bekalan darah ke Sabah, Sarawak

TUDM bawa bekalan darah ke Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR – Pesawat pengangkut C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia melakukan penerbangan ke Sabah dan Sarawak bagi membawa bekalan darah dan spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kedua-dua negeri itu.

Sebanyak 375 pek darah seberat 562 dan 3698 pound spesimen klinikal telah dibekalkan oleh KKM bagi kegunaan hospital-hospital di sana dalam usaha memberikan rawatan perubatan
kepada pesakit-pesakit yang memerlukan.

Pesawat C130H dari No 20 Skn yang berpangkalan di Pangkalan Udara Subang telah berlepas kira-kira jam 11 pagi tadi dari Subang.

Penerbangan ini dikendalikan Mejar Muhammad Izwan Shah Azman sebagai juruterbang dan dibantu oleh Kapt Shahril Amin Dzulkefli selaku pembantu juruterbang bersama lima anak kapal.

Penerbangan ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial serta membuktikan TUDM sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset-asetnya pada saat yang diperlukan.

TUDM akan sentiasa memberikan bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan termasuklah dalam usaha menangani pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette