KUALA LUMPUR – Selepas berjaya menghasilkan penutup mulut dan hidung, sekumpulan pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan cecair pembasmi kuman bagi memenuhi keperluan kakitangan dan pelajar universiti itu.
Projek ini bertujuan untuk mengurangkan risiko penularan virus dan bakteria berbahaya terutamanya semasa penularan Covid-19 dan ia bukan untuk tujuan komersial.
Produk ini dihasilkan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melalui ujian dalam makmal penyelidikan USIM untuk memastikan keberkesanan produk ini terhadap mikroorganisma.
Ketua FaST LaB, Dr. Muhammad Zamir Othman berkata, usaha penghasilan kumpulan pertama pembasmi kuman ini telah bermula pada 16 Mac lalu secara berperingkat dan sebanyak 70 liter cecair pembasmi kuman berjaya dihasilkan.
Ia kemudiannya dibotolkan dalam botol mini berkapasiti 60 ml supaya lebih mudah di bawa apabila perlu berada di luar.
”Proses pembuatan cecair pembasmi kuman ini melibatkan beberapa penggunaan bahan kimia seperti isopropanol, glycerol, hidrogen peroksida dan air.
”Melalui pengawalan keselamatan yang tinggi di dalam makmal, proses akhirnya yang amat penting bagi kami iaitu untuk memastikan campuran bahan-bahan ini menghasilkan kepekatan bahan aktif pada paras 75% Isopropanol,” katanya.
Kos bagi setiap botol cecair pembasmi kuman yang dihasilkan ini adalah tidak melebihi RM3.50 dan projek ini juga sebenarnya turut mendokong aspirasi USIM dalam konteks prosumerism.
Sebanyak 300 botol mini cecair pembasmi kuman 60ml dapat disiapkan dalam pengeluaran kumpulan pertama dan sudah diedarkan kepada warga USIM di kampus induknya di Nilai, Kampus USIM Pandan Indah dan para pelajar yang berada Kolej Kediaman dan yang tinggal di luar kampus.
Malah cecair pembasmi kuman ini juga dijadikan bahan isian semula dalam botol sedia ada di Pusat Kesihatan Universiti dan Klinik Pakar Universiti bagi memastikan bekalannya, ujar Dr Muhammad Zamir.
Produk ini turut dibekalkan ke jabatan-jabatan kritikal USIM yang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini antaranya Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti dan Pusat Komunikasi Strategik.
Mereka turut menyumbangkannya untuk komuniti setempat yang memerlukan dan terkini kepada Balai Polis
Nilai untuk kegunaan anggotanya yang terlibat dalam kawalan dan rondaan sepanjang tempoh PKP di sekitar bandar ini.
USIM berkata, projek yang diusahakan oleh Dr. Muhammad Zamir bersama-sama Dr. Syaza Azhari, Mohd Nazarali Ali, Muhammad Izzat Redzuwan, Siti Nazurah Md Jusoh, Sharifah Shahirah Syed Shaharuddin dan Anis Suraya Mohamed Rasdi mendapat sokongan pengurusan universiti. – MalaysiaGazette