“WALAU kami bukan kerajaan yang anda undi tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini prihatin terhadap anda,” mesej penuh makna disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) hari ini.
Disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen, Muhyiddin tetap dengan gayanya yang merendah diri dan tenang menyampaikan ucapan menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami.
Beliau juga tidak menipu apabila mengatakan pakej rangsangan kali ini melibatkan semua rakyat termasuklah golongan berpendapatan menengah yang selama ini sering terpinggir dalam setiap perancangan kerajaan. No one left behind – itu janjinya pada awal dahulu dan hari ini ditunaikannya.
Pakej Prihatin berjumlah RM250 bilion itu memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat yang mana hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.
Sejumlah RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.
Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.
Apa yang pasti pakej Prihatin ini adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan setiap dapur tetap berasap biar sesukar mana pun cabaran yang ditanggung rakyat ketika berhadapan dengan krisis wabak COVID-19.
Belum sampai sebulan Muhyiddin memimpin negara, banyak langkah tegas telah diambil demi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terjamin sama ada dalam masa jangka pendek atau panjang walaupun sedang berperang dengan wabak COVID-19.
Tegasnya, fokus kerajaan hanya untuk memastikan wabak pembunuh itu dapat dibendung sepenuhnya kerana selain mengancam nyawa rakyat, kerajaan pastinya tidak mahu melihat ekonomi Malaysia runtuh akibat impak wabak telah tersebar di seluruh dunia itu.
Tidak peduli tohmahan pembangkang yang sentiasa mencari kesalahan dan tidak berpuas hati dengan segala langkah yang diambil kerajaan, Muhyiddin dilihat tidak berpaling daripada matlamatnya untuk menyelamatkan Malaysia daripada wabak COVID-19 dan kesannya terhadap rakyat, ekonomi dan negara.
Apa yang dipinta hanyalah pengertian daripada rakyat bahawa apa yang dilakukan kerajaan meskipun memeritkan warganya —adalah jalan terakhir yang terbaik.
Kerana beliau sedar, kejayaan tidak akan terzahir jika usaha hanya dilakukan oleh pihak kerajaan sahaja kerana rakyatlah penentu sama ada peperangan melawan wabak COVID-19 ini akan berjaya atau tidak.
“Negara kita sedang berperang dengan suatu kuasa yang tidak nampak di mata.
“Situasi yang kita hadapi ini adalah perkara yang pertama kali berlaku dalam sejarah.
“Saya menerima hakikat, saya hadir sebagai Perdana Menteri anda bukanlah pada saat-saat terbaik.
“Saya perlu berhadapan krisis politik, ekonomi dan kesihatan secara serentak.
“Situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini memerlukan langkah yang tidak pernah dibuat.
“Jadi, abang-abang dan kakak-kakak yang saya kasihi serta anak-anak watan ini, sama ada anda Melayu, Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, orang asal, tolonglah bersabar bersama-sama saya serta rakan-rakan dalam Kabinet dan kerajaan.
“Kami tidak sempurna tetapi kami cuba melakukan yang terbaik untuk keluar daripada krisis ini bersama,” ucapnya dalam Bahasa Inggeris.
Satu-satunya perenggan berbahasa Inggeris dalam teks ucapan setebal 16 muka surat itu.
Mungkin untuk memberi lebih kefahaman terhadap “golongan atasan atau berpendidikan tinggi” serta golongan yang suka mempolitikkan semua isu.
Ini kerana jika melihat kepada video-video tular di media-media sosial, penduduk di kawasan berkelas menengah atasan lebih “degil” untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan berbanding kawasan lain.
Malah, penduduk-penduduk di rumah flat atau PPR dipuji kerana sanggup bersesak di dalam sebuah rumah yang kecil demi untuk memenuhi tanggungjawab memutuskan rantaian wabak COVID-19. – MalaysiaGazette
memang ini bukan kerajaan yang rakyat pilih. kalau rakyat pilih kerajaan maka rakyat bertanggong jawab diatas kerajaan itu. tapi kini kerajaan rampasan maka kamu lah bertanggong jawab keatas rakyat. dengan ujian yang besar ini kamu boleh cuba atasinya. atau serah balik pada rakyat buat pilihan.
Ya Allah, berikan kesihatan terbaik buat TSMY untuk membendung Covid-19 demi Agama dan Negara. Sejahterakanlah kami semua rakyat Malaysia. Amin ya Allah