Home Ekonomi Bank Rakyat umum dividen 14 peratus

Bank Rakyat umum dividen 14 peratus

KUALA LUMPUR- Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 14 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, meningkat satu peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah dividen itu melibatkan pembayaran sebanyak RM382 juta kepada 840,590 anggota individu dan 2,257 anggota koperasi berjumlah RM24 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, meskipun trend pembayaran dalam industri secara keseluruhannya adalah rendah, Bank Rakyat masih boleh mengekalkan pembayaran dividen pada kadar yang kompetitif berbanding 2018.

Tambahnya, bank tersebut sentiasa prihatin terhadap keperluan anggotanya yang mana 30 peratus penerima individu terdiri daripada golongan B40, manakala 20 peratus penerima anggota koperasi terdiri daripada golongan B40.

“Justeru, saya berharap agar pembayaran dividen ini dapat membantu meringankan beban kewangan kepada anggaran 5.1 juta rakyat Malaysia (berdasarkan empat orang seisi keluarga) pada saat negara dilanda penularan pandemik COVID-19 yang turut menjejaskan pendapatan serta ekonomi negara,” katanya ketika mengumumkan dividen Bank Rakyat di sini hari ini.

Dividen akan mula dibayar bermula esok.- MalaysiaGazette