KUALA LUMPUR- Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) merupakan sandaran semua pihak sama ada kerajaan mahu pun rakyat dalam memastikan perang melawan wabak COVID-19 berjaya.
Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pakej bernilai RM250 bilion itu adalah besar dan menyeluruh.
Jelasnya, saiznya 10 kali ganda lebih besar berbanding pakej rangsangan yang dilancarkan kerajaan pada 2009 bagi mengurangi impak wabak SARS.
“Saiz pakej rangsangan kali ini adalah 17 peratus.
“Kita boleh melihat perpindahan wang tunai kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan menengah (M40), pemberian subsidi upah serta langkah-langkah untuk menyokong perniagaan dalam pakej ini.
“Kita juga boleh melihat penyertaan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam pakej rangsangan kali ini seperti Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya kepada MalaysiaGazette
Tambah Afzanizam, pakej tersebut merupakan langkah penting dalam memastikan semua orang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan supaya rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan.
“Lebih cepat PKP ditamatkan, lebih baik untuk ekonomi Malaysia,” tegasnya.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej Prihatin yang bernilai RM250 bilion yang mana hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.
Sejumlah RM100 bilion lagi adalah untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.-MalaysiaGazette