KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup empat jalan di Petaling Jaya hari ini dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Empat jalan terlibat ialah Jalan 5/46 Gasing Indah (Petaling Jaya); Jalan Persiaran Mahogani (Seksyen 9); Jalan Persiaran Jati (Seksyen 8); dan Jalan Persiaran Sungai Buloh (TSB) di Kota Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata penutupan jalan itu dibuat untuk mengawal pergerakan bebas penduduk bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
“Setelah 11 hari Perintah Kawalan Pergerakan, kami mendapati masyarakat telah mula peka dan bertanggungjawab, namun masih ada individu yang masih ingkar dan mengambil kesempatan ke atas laluan alternatif bagi mengelakkan enam sekatan jalan raya yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Pantai Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Jalan Persiaran Kenanga-Tol Kota Damansara, Jalan Persiaran Surian-Palm Spring Kota Damansara dan Jalan Persiaran Tropicana-Casa Tropicana.
Katanya, penutupan jalan-jalan itu dibuat selepas pihaknya meneliti trend jangkitan dan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Bagaimanapun, Nik Ezanee berkata laluan yang ditutup itu masih boleh dilalui oleh ambulans, kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan polis.
Menurutnya, empat anggota ditugaskan untuk mengawal keselamatan di setiap penutupan jalan selama 24 jam sehari.
“Kami menyarankan masyarakat yang terkesan agar sama-sama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan sabar dalam menghadapi kesulitan bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.
— BERNAMA
Mcm2 usaha kerajaan buat.. Masih ada yg degil tahap cipan.. Agak eii otak dorang kat jubo tu…