Home Nasional Tular perintah berkurung tidak benar – Ismail Sabri

Tular perintah berkurung tidak benar – Ismail Sabri

Deretan kereta di sekatan sekatan jalan raya Ops Covid-19 di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak pernah membuat keputusan untuk melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara sebagaimana yang ditularkan di media sosial sehingga menyebabkan orang ramai berpusu-pusu membuat pembelian panik.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apa yang dikaji oleh kerajaan adalah kemungkinan mengehadkan waktu operasi pusat perniagaan barangan keperluan harian supaya Perintah Kawalan Pergerakan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, untuk itu pihaknya telah berbincang dengan beberapa kementerian terbabit termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berikutan adanya cadangan untuk menutup kilang-kilang.

“Kesemuanya itu bagaimanapun bukan bermakna kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya, sebaliknya langkah mengehadkan waktu operasi pasar raya misalnya bermakna rakyat masih boleh mendapatkan barang keperluan tetapi dalam waktu yang dihadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian berkaitan isu pandemik Covid-19 yang kini telah mengorbankan 26 nyawa di Malaysia.

Setakat ini hanya dua kawasan di Simpang Renggam yang telah diarah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, sehingga semalam sebanyak 114 kertas siasatan berkaitan berita palsu juga dibuka oleh polis berkaitan Covid-19 dan ia termasuk penularan berita kononnya kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya.

Katanya, tujuh daripada kertas siastan itu telah disiasat untuk tindakan lanjut.

‘Apabila diumumkan SOP baharu akan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, ramai mula menyebarkan berita palsu mengatakan kononnya perintah berkurung akan dilaksanakan yang mana semua pasar dan kedai akan ditutup.

“Saya nak jelaskan semua berita berkenaan adalah palsu, selagi perintah ini di bawah Akta Kesihatan, ia bukan perintah berkurung tapi Perintah Kawalan Pergerakan sahaja.

“Saya selepas ini akan mengumumkan nanti tentang PKP yang telah diperketatkan apabila diteliti mengenai kesannya nanti,” ujar beliau.

Beliau memberi jaminan bahawa PKPD bukan perintah berkurung seperti disalahtafsir dan ditularkan dalam kalangan masyarakat di luar sana.

“Jangan terpengaruh dan buat pembelian panik. mungkin kita akan ada had jangka masa dari segi pasaraya ditutup.

“Selepas in akan diselaraskan dari segi jangka masa untuk dibuka, tapi semua tetap dibuka termasuk pasar untuk dapatkan bekalan makanan,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Ismail Sabri turut ditanya mengenai kegiatan scammer berikutan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi pada 25 Mac lalu.

Katanya, sebanyak 993 kertas siasatan penipuan dalam talian telah dibuka melibatkan kerugian mangsa sekitar RM3 juta setakat ini.

“Apabila kerajaan misalnya berkata ahli pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja boleh mengeluarkan wang, scammer mengambil kesempatan penipuan dengan tawaran palsu di media sosial meminta pencarum menghantar nombor MyKad dan nombor akaun simpanan bank sebagainya.

“Saya harap rakyat di luar sana tolong berhati-hati dengan scammer yang bersiap memperdaya anda setiap masa.

“Kalau melibatkan KWSP sila ikut arahan dari segi prosedur pengeluaran wang yang diberikan pihak berkuasa terlibat,” ujarnya. – MalaysiaGazette