Home Utama Covid-19: Jumlah kematian meningkat kepada 35

Covid-19: Jumlah kematian meningkat kepada 35

Seorang petugas melihat imbasan x-ray salah seorang pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah kematian akibat pandemik Covid-19 meningkat kepada 35 mangsa apabila seorang lagi pesakit meninggal dunia petang tadi.

Mangsa seorang wanita berusia 57 tahun mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia dan merupakan kes ke-1,952.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa telah mula bergejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada 17 Mac 2020 lalu.

“Beliau kemudiannya ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

“Hasil ujian pengesahan Covid-19 telah didapati positif pada 18 Mac 2020. Kesihatan beliau merosot hari demi hari, dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2020 jam 4.00 petang.

“KKM mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga beliau,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, malam ini.

Dalam sidang media pukul 5 petang tadi, Dr Noor Hisham memaklumkan tujuh kematian dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari tadi. – MalaysiaGazette