KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di sini antara persatuan yang mengambil langkah proaktif bagi mencegah penularan wabak Covid-19.
Selain mengeluarkan belanja sendiri tanpa mengharapkan bantuan agensi kerajaan, pihaknya mengupah sendiri pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas di Pasar Besar TTDI.
Pihaknya juga mengehadkan jumlah kemasukan pelanggan ke dalam premis.
Menurut pengerusinya, Jennie Loo, kira-kira 30 pelanggan dibenarkan masuk pada satu-satu masa selain mewajibkan pemeriksaan suhu badan dan penggunaan cecair pembasmi kuman di pintu masuk pasar tersebut.
“Kita hanya buka satu pintu sahaja untuk pelanggan masuk dan keluar. Setakat ini semuanya masih dalam keadaan terkawal dan orang awam yang suhu badannya tinggi tidak dibenarkan untuk masuk ke pasar.
“Tapi saya juga ada dengar, pasar-pasar lain di sekitar ibu kota ada penguat kuasa yang jaga kawasan tersebut namun di sini pihak persatuan mengeluarkan dana mereka sendiri bagi mendapatkan khidmat anggota RELA yang mengawal pergerakan orang awam yang berkunjung ke pasar,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di Pasar Besar TTDI hari ini.
Tambah Jennie lagi, kehadiran pelanggan ke pasar tersebut juga semakin meningkat ekoran pasar-pasar lain yang berada di sekitar kawasan tersebut tidak beroperasi.
Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk TTDI, Dr. Akmal Yusof pula memuji langkah-langkah yang diambil oleh persatuan pasar tersebut dalam mengendalikan situasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami sangat berbangga dengan cara persatuan ini mengendalikan kerja-kerja mereka ketika pelaksanaan PKP ini. Orang awam yang datang ke pasar ini juga dilihat berdisiplin serta teratur ketika menjalankan menjalankan urusan pembelian.
“Saya juga harap semua rakyat di negara ini dapat mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan selain menghidarkan diri keluar ke tempat awam tanpa urusan penting,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga, Burhan Shafie berkata, perniagaan menjual ayam yang diusahakan olehnya berjalan seperti biasa di pasar tersebut namun permintaan untuk menghantar barangan ke rumah pelanggan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan.
Jelas Burhan, kebanyakan restoran makanan yang mengambil bekalan ayam daripadanya tidak beroperasi ketika tempoh PKP ini jadi dia hanya mengharapkan pembelian daripada pelanggan yang datang ke pasar ataupun melalui urusan penghantaran.
“Stok bekalan ayam ketika ini tidak bermasalah malah berlebih-lebihan. Harga juga rendah sedikit berbanding kebiasaan iaitu RM7.50 sekilogram,” ujarnya.