KUALA LUMPUR – Semua premis perniagaan yang terlibat dalam barangan keperluan harian dan makanan (essential items) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu mematuhi waktu operasi baharu iaitu dari jam 8 pagi sehingga 8 malam sahaja bermula 1 April sehingga 14 April ini.
Ini meliputi kedai menjual barangan keperluan harian, restoran, kedai makan, stesen minyak serta perkhidmatan penghantaran.
Bagaimanapun, perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi dan e-hailing masih lagi dibenarkan untuk beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 10 malam.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakop, PKP fasa kedua yang bermula esok akan lebih ketat berbanding fasa pertama.
“Seperti yang kita lihat masih ada pasaraya dan pasaraya besar yang beroperasi sehingga jam 10 malam, malah sehingga jam 12 tengah malam pun ada.
“Jadi waktu operasi pada fasa kedua ini akan diperketatkan.
“Walaupun PKP fasa kedua adalah berbeza dengan fasa pertama namun ianya masih membenarkan pergerakan terkawal, kedai-kedai masih dibuka cuma kawalannya lebih ketat.
“Ianya jauh berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang kita laksanakan di Simpang Renggam dan Hulu Langat,” katanya semasa sidang media hari ini.
Bagi kenderaan persendirian pula, hanya seorang sahaja bagi setiap kenderaan.
“Bagi aktiviti riadah dan sosial tetap tidak dibenarkan sama ada di tempat awam mahu pun kawasan persendirian.
“Ini termasuk dalam kawasan berpagar (gated area), kerajaan tidak mahu membezakan sama ada yang berada dalam kawasan berpagar atau tidak.
“Undang-undang kita sama,” katanya lagi.
Namun begitu, pengecualian diberikan kepada aktiviti yang melibatkan terapi penghidap autism dan Orang Kelainan Upaya (OKU)
Dalam pada itu, kerajaan katanya menggalakkan kenderaan-kenderaan komersial yang dibenarkan beroperasi (terlibat dalam essential items) digalakkan untuk keluar pada jam 7 malam sehingga 7 pagi.
“Mereka digalakkan. Ini bukan arahan kerana kami faham ada yang perlu berada di atas jalan raya dalam tempoh yang lebih panjang kerana jarak yang jauh,” jelasnya.
Larangan-larangan yang dikuatkuasakan semasa PKP fasa pertama seperti aktiviti di rumah ibadah tetap diteruskan semasa PKP fasa kedua. – MalaysiaGazette