Home Utama Ramainya masih ‘melepak’ di pusat beli belah

Ramainya masih ‘melepak’ di pusat beli belah

Sebahagian pengunjung masih tidak patuhi jarak sosial semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Wabak pandemik Covid-19 kini sudah meragut 37 nyawa di negara ini hari ini manakala seluruh dunia ketika ini sudah mencatatkan seramai 34,017 kematian manakala kes positifnya pula mencecah sehingga 724,565 orang.

Hakikatnya ia peningkatan yang sangat membimbangkan, angka-angka itu sangatlah menakutkan namun tidak semua rakyat Malaysia merasai ketakutan yang sama.

Malah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa kedua kini masih di anggap acuh tidak acuh oleh sesetengah rakyat dan mereka yang tinggal di negara ini.

Kelihatan pengunjung membawa seorang kanak-kanak memasuki pasar raya dengan tidak memakai topeng mulut dan hidung semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020.

Tinjauan MalaysiaGazette ketika menyertai serbuan bersama 18 pegawai dan penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati masih ramai lagi  orang ‘berkeliaran’ tanpa mendengar arahan duduk di rumah masing-masing.

Antara lokasi serbuan serta pemeriksaan oleh JTK itu ialah pusat beli belah Mid Valley dan juga MyTown Cheras kerana mendapat aduan pelbagai pihak masih ada premis-premis tidak sepatutnya beroperasi tanpa mempedulikan PKP.

Apabila kami tiba di Mid Valley sekitar jam 11 pagi, memang boleh nampak orang ramai sedang sibuk membeli belah macam biasa.

Malah ada dalam kalangan mereka sekadar berjalan-jalan santai seperti menikmati cuti panjang.

Anggota Jabatan Tenaga Kerja Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memberi penerangan kepada seorang pengunjung yang tidak memakai topeng mulut dan hidung semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020.

Walaupun sudah ada arahan meminta hanya ketua keluarga atau seorang sahaja yang keluar untuk membeli barangan harian namun lain pula ceritanya di sini apabila ramai keluar berdua atau bertiga.

Malah ada juga membawa kanak-kanak dan bayi ketika membeli barangan, mereka juga tidak memakai penutup muka.

Tidak cukup dengan itu, ramai juga pemilik kedai yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih selepas PKP kerana masih beroperasi seperti biasa walaupun ada sebahagiannya  terpaksa menutup premis perniagaan mereka.

Pekerja mula menyimpan barang-barang elektrik semasa serbuan sebuah premis yang tidak mematuhi arahan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

Ketika serbuan di AEON Big dalam Mid Valley di sini mendapati masih ada premis menjual barangan bukan penting (essential) seperti barangan elektronik dan gajet masih dibuka dan ramai pelanggan.

Bagaimanapun ketika mendekati salah seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Syuki berkata, dirinya hanya datang membeli kerana AEON bukan untuk barangan keperluan sahaja sebaliknya semua yang lain-lain.

“Tempat lain tiada, sini buka jadi saya datanglah ke sini. Mereka buka jadi tidak salah kami membeli, lagipun saya beli benda-benda yang jadi keperluan. Mereka yang buka, kami belilah,” katanya.

Kelihatan seorang pengunjung membeli peralatan elektrik semasa serbuan sebuah premis yang tidak mematuhi arahan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020.

Satu lagi, premis menjual arak juga masih dibuka dan menjadi kunjungan umum.

Ketika ditanya penguat kuasa, pekerja juga mengatakan majikan mereka tidak mengarahkan ianya ditutup.

Malah pekerja juga ‘keliru’ dengan kehadiran penguat kuasa kerana menurut mereka majikan meminta mereka bekerja dan tidak diberikan cuti untuk tempoh PKP.

Pengarah Tenaga Kerja KL, Rahmat Ismail (kiri) memberi penerangan kepada pekerja-pekerja premis semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020.

Ada juga premis seperti farmasi menjual barangan lain seperti alat solek dan barangan lain yang kemudian diarahkan tutup separuh oleh JTK selain notis penutupan diberikan serta merta.

Kelihatan juga sekumpulan warga asing Bangladesh dan India yang bekerja sebagai buruh dan kerja lain berkemungkinan bercuti ketika ini mengambil peluang berjalan-jalan kononnya mahu mencari bahan makanan.

Anggota polis Cawangan Khas (SB) memeriksa dokumen warga asing yang tidak mematuhi arahan semasa serbuan sebuah premis pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020.

Seorang lelaki warga Itali dikenali sebagai Juliano pula tanpa memakai topeng muka berlegar-legar mengatakan dirinya selesa duduk di negara ini dan sudah menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya.

Orang ramai juga kelihatan beratur panjang untuk masuk ke dalam pasar raya, tidak semua memakai topeng muka mahupun menggunakan cecair pembasmi kuman.

Seorang pekerja mula menyimpan barang-barang semasa serbuan sebuah premis yang tidak mematuhi arahan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

Ada juga sekadar menghabiskan masa sempena cuti PKP sambil membawa keluarga dan rakan-rakan dan kelihatan berborak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Malah apabila nampak kelibat penguat kuasa pun mereka buat seperti tidak kisah seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan.

Anggota Jabatan Tenaga Kerja Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat serbuan sebuah premis yang tidak mematuhi arahan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Mid Valley, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 MAC 2020

Justeru, tidak mungkin rantaian Covid-19 dapat diputuskan seandainya masih ada rakyat Malaysia mengambil ringan dan tidak kisah apa yang dikuatkuasakan kerajaan sebaliknya meneruskan kehidupan seperti sebelum ini tanpa berfikir tentang orang lain mahupun angka-angka kematian kes meningkat ketika ini. –MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kuanrantin je dia org kat SC tu.. jumpa yg jln2 pun lokapkan je kat SC tu.. sume cukup, makan minum, katil, kedai emas.. puas2 kn lah jln2, shopping2, lps tu takyh terus nk susahln org, nk susahkn mak bapak…

  2. Polis dan tentera masuk tangkap semua termasuk tauke2 kedai yg berkenaan dan manager kompleks tersebut

Comments are closed.