KUALA LUMPUR – Kumpulan penyelidik dari Program Fizik Industri, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS menghasilkan set pelindung muka untuk disumbangkan kepada hospital-hospital di seluruh Sabah.
Ketua penyelidik Dr. Chee Fuei Pien berkata, set pelindung muka itu dihasilkan dengan menggunakan kaedah Flashforce 3D Printer.
“Penyediaan peralatan ini adalah menggunakan bahan Acrylonitrile Butadiene Styrene (ABS) dengan fabrikasi pada suhu sekitar 230 ºC.
“Kesemua proses termasuk 3D Printing kita lakukan di dalam Makmal Sains Bahan, FSSA,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Chee Fuei Pien, set pelindung muka ini sangat sesuai digunakan untuk melindungi diri daripada terdedah kepada potensi bahaya wabak Covid-19.
Katanya, makmal sains bahan di FSSA, UMS boleh menghasilkan sebanyak 30-35 set dalam sehari.
“Dalam keadaan negara yang dilanda dengan wabak Covid-19, penggunaan pelindung muka ini sangat diperlukan terutamanya kepada petugas kesihatan barisan hadapan.”
“Sehingga kini lebih dari 110 set pelindung muka telah berjaya dihasilkan untuk tujuan edaran kepada petugas kesihatan yang diagihkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah
(JKNS),” katanya. – MalaysiaGazette