SUBANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia mengerakkan semua aset termasuk unit udara bagi menghadapi sebarang kemungkinan, sama ada berdepan dengan bencana alam mahupun wabak penyakit seperti Covid-19.
Penolong Pesuruhjaya JBPM Subang, Muhammad Saiful Nizam Samsuddin berkata, ketika ini pihaknya mempunyai tiga aset yang mampu membuat penerbangan bantuan perubatan khususnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Ketika ini Unit Udara JBPM memiliki tiga aset yang dapat digerakkan bagi menghadapi sebarang bencana seperti Covid-19 ini.
“Persediaan yang lengkap bagi menangani masalah Covid-19 telah dirangka dan akan terus diaktifkan jika diperlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hangar Institut Teknologi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) hari ini.
Menurut Muhammad Saiful Nizam, pihaknya sedia membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melakukan penerbangan medevac sepanjang tempoh PKP ini.
“Sehingga kini, unit udara JBPM telah melakukan penerbangan medevac dan pemadaman kebakaran hutan di sepanjang tempoh PKP dijalankan,” katanya.
Katanya, bagi memastikan operasi unit udara JBPM berjalan lancar bagi menghadapi sebarang kemungkinan, anggotanya sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap siaga pada bila-bila masa.
“Seramai 120 orang pegawai bersiap sedia bagi kesiapsiagaan pesawat jika digerakkan.
“Ketika ini, kesemua pesawat ditempatkan di Pangkalan Udara JBPM Subang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette