Home Seni Hidup Contohi penduduk Batu Lancang

Contohi penduduk Batu Lancang

ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong (kiri) membantu sukarelawan memeriksa suhu badan sebelum membenarkan pelanggan masuk ke dalam Pasar Batu Lancang, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Berdisiplin dan mematuhi arahan.

Demikian keadaan setiap hari di Pasar Awam Batu Lancang dekat sini sepanjang arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Walaupun suasana di pasar itu kelihatan sibuk namun pergerakan keluar masuk pelanggan adalah teratur dan terkawal apabila mereka kelihatan beratur pada jarak satu meter mengikut garisan yang telah dibuat.

Selain menggunakan topeng muka, para pelanggan juga turut diperiksa suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke pasar, begitu juga para peniaga dan penjaja yang melakukan pemeriksaan sama dan memberikan kerjasama yang baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata, kejayaan pelaksanaan arahan tersebut membuktikan kerjasama semua pihak yang terlibat iaitu orang ramai dan pihak berkuasa.

“Sebelum PKP dilaksanakan, saya bersama ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah pun bertemu dengan pengurusan setiap pasar ini beritahu untuk buat garisan bagi menjarakkan pelanggan.

“Kita telah beri penerangan kepada mereka serta orang ramai mengapa perlu ada jarak sosial dan tidak boleh bersesak di pasar. Setiap peniaga juga diminta menyediakan hand sanitizer untuk mencuci tangan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan pada mulanya sukar untuk membiasakan orang ramai mengikut arahan tersebut yang bertujuan mengelak penularan wabak Covid-19.
Menurut Ah Teong, ketika mula dilaksanakan ada pelanggan merungut kerana perlu beratur lama, namun diberi penjelasan oleh pihak MPKK dan penguat kuasa Majllis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP).

Beginilah keadaan Pasar Awam Batu Lancang yang teratur berikutan orang ramai mengikuti arahan yang ditetapkan semasa berurusan di Pasar batu Lancang, Pulau Pinang.

Jelas beliau selain penguat kuasa MBPP, tugas memantau kelancaran keluar masuk pelanggan di pasar dibantu ahli-ahli MPKK dan anggota Rela.

“Tidak lebih 50 orang sahaja pelanggan dibenarkan berada di dalam pasar pada satu-satu masa manakala para peniaga turut memainkan peranan meminta pelanggan supaya beratur pada jarak satu meter semasa membeli barang di gerai.

“Mereka juga diminta membeli barang-barang mengikut keperluan sahaja selain tidak terlalu lama dalam pasar bagi membolehkan pelanggan lain untuk masuk membeli,” ujarnya.- MalaysiaGazette