KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menzahirkan kebimbangannya dengan laporan berlaku jangkitan Covid-19 berlaku dalam kalangan pelajar Maahad Tahfiz.
Ia membabitkan 71 daripada 274 pelajar Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah, Sungai Lui dan 132 pelajar Tahfiz Maahad Miftahul Ulum telah dikuarantinkan di Institut Sosial Negara (ISM) setelah mereka menghadiri program Tabligh di masjid Seri Petaling.
Pada 30 Mac lalu, seramai 87 pelajar tahfiz di Terengganu juga dikuarantin kerana disyaki dijangkiti Covid-19.
Lebih membimbangkan jika kanak-kanak dan pelajar di kawasan kejiranan sekolah Tahfiz berkemungkinan turut dijangkiti.
Pesuruhjaya Kanak-kanak (CC) Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, selaras dengan Perkara 3 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kerajaan dan pengurusan tahfiz diingatkan untuk sentiasa menjadikan kepentingan kanak-kanak itu sebagai perkara utama.
Melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM), kerajaan perlu memastikan agar kesejahteraan kanak-kanak dilindungi dan dijaga dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya dari segi perundangan dan pentadbiran.
Katanya, kerajaan juga perlu memastikan agar institusi, perkhidmatan dan fasiliti yang bertanggungjawab untuk
menjaga dan melindungi kanak-kanak ini mematuhi standard yang ditetapkan terutamanya dari segi keselamatan, kesihatan, jumlah dan kesesuaian kakitangan termasuk juga penyeliaan yang cekap.
Noor Aziah juga mengingatkan kerajaan kewajipan yang dinyatakan di bawah Perkara 24 CRC bahawa kerajaan perlu mengiktiraf hak kanak-kanak untuk menikmati standard kesihatan paling tinggi dan menyediakan kemudahan rawatan bagi penyakit sertapemulihan kesihatan, di samping memastikan bahawa tiada kanak-kanak dilucuthakkan aksesnya kepada perkhidmatan jagaan kesihatan.
Perkara 25 akta ini juga menambah kajian berkala atas semua rawatan yang diberikan kepada kanak-kanak serta hal yang berkaitan dengan penempatannya perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berwibawa bagi maksud perlindungan atau rawatan kesihatan fizikal dan mental mereka.
Meskipun Malaysia sedang berusaha memerangi pandemik Covid-19, adalah penting kerajaan memelihara kesihatan dan kehidupan kanak-kanak kerana kesihatan mereka mudah terjejas terutamanya yang tidak berada di bawah jagaan ibubapa.
Dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kanak-kanak mempunyai hak yang saksama di bawah perlindungan undang-undang dan tidak boleh didiskriminasi.
PKP secara umumnya melibatkan penutupan sekolah dan kawalan pergerakan yang mana mengganggu kehidupan seharian kanak-kanak dan akses untuk mereka mendapatkan sokongan sosial.
Ini meningkatkan risiko untuk mereka terdedah kepada keganasan dan tekanan psikososial.
Memandangkan pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sepertimana yang dinyatakan pada item 13 Senarai Persekutuan di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Noor Aziah mengingatkan semua sekolah, sama ada sekolah berasaskan agama atau sebaliknya perlu berdaftar dengan kerajaan.
Ini kerana, kanak-kanak ini bukan sahaja di bawah tanggung jawab KPWKM tetapi juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan juga Majlis Keselamatan Negara Malaysia (MKN) dalam memastikan semua sekolah tahfiz diselaraskan mengikut undang-undang dan kanak-kanak dilindungi serta dihormati sepenuhnya dalam tempoh ini.
Sekolah-sekolah ini perlu diselaraskan bagi mengelakkan sebarang tragedi, ujarnya. – MalaysiaGazette