KUALA LUMPUR – Sesi Dewan Rakyat akan bersidang seperti biasa pada 18 Mei depan biarpun negara berdepan dengan penularan Covid-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Parlimen sedang merangka langkah-langkah yang perlu diambil sebagai persiapan untuk Persidangan Dewan Rakyat.
Beberapa pendekatan juga turut diambil-kira berdasarkan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di beberapa lokasi.
“Tumpuan utama Kerajaan kini adalah memastikan semua rakyat, termasuk Ahli Parlimen terjamin keselamatan,” katanya, hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin menggesa agar semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas yang bertungkus-lumus memerangi wabak ini dengan mematuhi segala arahan pihak berkuasa.
Awal bulan ini, Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, persidangan Dewan Rakyat akan bermula 18 Mei depan.
Pada awalnya, sidang Dewan Rakyat dijadualkan pada 9 Mac ini sehingga 16 April depan dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – MalaysiaGazette
Pembetulan, 18 Mac ke 18 Mei 2020