Home Sukan KBS sambut baik Olimpik Tokyo ditetapkan Ogos 2021

KBS sambut baik Olimpik Tokyo ditetapkan Ogos 2021

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 yang telah menetapkan tarikh Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari 23 Julai ini ke 8 Ogos 2021 dan Sukan Paralimpik Tokyo pada 5 September 2021.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penetapan tarikh baru tersebut lebih dari 12 bulan dari sekarang dipercayai memberi ruang dan masa yang cukup untuk pihak penganjur, atlet-atlet, pegawai dan semua pemegang taruh untuk mengatasi cabaran-cabaran yang sedang dihadapi kesan dari wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Katanya, keputusan berkenaan juga memberi ruang yang selesa buat semua pihak untuk mengatur semula perancangan program latihan dan pertandingan termasuk proses kelayakan atlet yang tertangguh berasaskan tarikh baru tersebut.

“Saya juga menyambut baik keputusan bahawa atlet-atlet yang telah layak sebelum ini diberi jaminan pengesahan untuk bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 tahun hadapan.

“Bagaimanapun, proses kelayakan untuk atlet-atlet yang belum layak bagi memenuhi kuota jumlah penyertaan di kedua-dua temasya masih sedang dibincang dan dipertimbangkan oleh Persekutuan Sukan Antarabangsa (IF) masing-masing bersama IOC dan IPC dalam mencapai kesepakatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Reezal, tindakan itu adalah bagi memutuskan proses kelayakan yang adil dan terbaik bagi semua pihak untuk sukan yang masih memerlukan proses kelayakan tersebut.

“KBS menyokong usaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) supaya pihak IOC dan IPC dapat memberikan pertimbangan agar kita mendapat peluang kelayakan yang terbaik buat atlet-atlet negara ke temasya sukan berprestij itu nanti.

“KBS, MOM dan MPM akan terus bekerjasama rapat untuk memastikan kesiapsiagaan kontinjen Malaysia di tahap terbaik dalam kita merealisasi impian pingat emas pertama Malaysia untuk Olimpik.

“Malahan kerjasama itu juga untuk memastikan pencapaian 3 pingat emas semasa Paralimpik Rio 2016 yang lalu dapat dikekalkan atau ditingkatkan lagi pada Paralimpik Tokyo 2020 nanti,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette