Home Nasional Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan perlu diperluas ke zon merah

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan perlu diperluas ke zon merah

Anggota polis dan tentera yang terlibat dalam Operasi Benteng mengawal ketat sempadan negara dari dibolosi pendatang asing tanpa izin.

KUALA LUMPUR – Hanya komitmen dan kerjasama rakyat sahaja mampu menyelamatkan Malaysia daripada wabak Covid-19 menjadi semakin buruk.

Ketua Biro Perpaduan Parti Gerakan, H. Puvaniten mencadangkan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di Simpang Renggam dan Hulu Langat diperluaskan ke zon-zon merah yang lain.

Ini kerana ujian pengesanan berskala besar dan pantas perlu dilakukan di kawasan terbabit.

Tambah beliau lagi, tindakan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini adalah sangat tepat bagi membendung penularan wabak tersebut.

Jelasnya, kaedah paling efektif untuk mengekang penularan Covid-19 adalah dengan tidak keluar rumah.

“Kita berada pada fasa kritikal mencegah ledakan Covid-19 yang memerlukan kerjasama rakyat dan penambahbaikan pengurusan keselamatan kerana ia faktor utama kejayaannya, sekali gus mengelakkan ledakan Covid-19 dalam skala lebih besar.

“Janganlah melihat wabak Covid-19 ini sebagai perkara remeh dan masih kita membuat pergerakan di luar rumah dengan alasan yang tidak munasabah.

“Melihatkan perkembangan semasa, tindakan kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh PKP fasa kedua hingga 14 April adalah amat wajar bagi membendung dan seterusnya menyekat penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Puvaniten menegaskan rakyat mesti terus mematuhi PKP bagi mengelak kerajaan mengambil langkah yang lebih drastik atau memanjangkan lagi tempoh PKP selepas 14 April ini.- MalaysiaGazette

+ posts