KERTIH– Tersentuh dengan situasi semasa pandemik COVID-19, kakitangan Petronas di Pantai Timur mengambil inisiatif sendiri menyampaikan sumbangan peribadi kepada kakitangan Hospital Kemaman dekat sini.
Ia hasil usaha kutipan sumbangan yang diselaraskan oleh Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) pada 22 Mac 2020 lalu yang berjaya mengutip dana berjumlah RM47,111.85 selepas seminggu dilancarkan.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, sumbangan tersebut adalah suatu bentuk sokongan moral dan lambang solidariti warga Petronas di atas dedikasi dan pengorbanan barisan hadapan di dalam menangani pandemik COVID-19.
Sumbangan disampaikan kepada Pegawai Perubatan/Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Hospital Kemaman, Dr Matnoh Karim yang mengakui sumbangan tersebut mampu meringankan beban kakitangan hospital berkenaan untuk terus fokus semasa menjalankan tugas.
Terdahulu, Petronas, melalui Yayasan Petronas telah menyerahkan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM20 juta kepada Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengurangkan penyebaran penularan COVID-19.
Selain daripada itu, Petronas Dagangan Berhad turut menyampaikan bekalan air mineral kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). – MalaysiaGazette