KUALA LUMPUR – Cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer kini mendapat permintaan yang luar biasa dalam kalangan masyarakat bagi memenuhi keperluan dan membantu mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.
Bukan sahaja stok produk itu habis di farmasi sahaja malah jualan di laman sosial seperti Facebook juga mendapat sambutan yang cukup hangat.
Malah pelbagai jenama cecair pembasmi kuman itu muncul secara tiba-tiba yang entah datang daripada mana pengeluarannya.
Bagi Profesor Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Yang Farina Abdul Aziz berkata, secara saintifik sabun mandi sudah memadai keberkesanannya untuk digunakan ketika membasuh tangan.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Institut Kimia Malaysia turut menasihati orang ramai menggunakan sabun mandi kerana harga produk itu yang lebih murah.
“Tetapi yang paling penting, kita jangan berebut dan jangan jadi hamba sanitizer kerana orang yang lebih memerlukan adalah seperti wira-wira kita yang berada di hospital.
“Mereka yang berdepan dengan pesakit wabak Covid-19 dan jangan sampai hospital tiada bekalan sebab kita buat pembelian panik,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yang Farina yang memiliki kepakaran dalam bidang kimia tidak organik menambah, cecair pembasmi kuman kebiasaannya memiliki kandungan alkohol sama ada 60 peratus etanol atau 70 peratus isopropanol.
Selain alkohol jelas beliau, terdapat juga bahan lain seperti air, gel aloevera dan pewangi dalam produk itu.
Tambah beliau, sabun mandi pula memiliki surfactant yang diperoleh daripada tindak balas minyak atau lemak dengan bes seperti natrium hidroksida atau kalium hidroksida.
“Sabun berasaskan natrium bersifat keras dan digunakan untuk membasuh kain manakala sabun kalium bersifat lembut dan digunakan untuk mandi.
“Dalam cecair pembasmi kuman pula, etanol sebagai contoh selalunya terdapat sebanyak 60 peratus dan 40 peratus air atau gel dan sedikit pewangi manakala dalam sabun terdapat surfaktan dan pelembut serta pewangi.
“Untuk cecair pembasmi kuman perlu ada 60 peratus etanol atau 70 peratus isopropanol manakala sabun mandi biasa sudah berkesan untuk menyahaktifkan virus Covid-19,” katanya.
Yang Farina turut menyarankan masyarakat mengekalkan budaya membersihkan diri secara berterusan terutama kerap membasuhkan tangan sebagai cara hidup selepas wabak pandemik itu telah berakhir pada masa akan datang. – MalaysiaGazette