Home Nasional Saya dah beri amaran, jangan paksa saya tahan mereka – Nik Ezanee

Saya dah beri amaran, jangan paksa saya tahan mereka – Nik Ezanee

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal memantau sekatan jalan raya OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 di Persiaran Surian, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 31 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Penutupan beberapa jalan  di Kota Damansara menyebabkan ramai penduduk kawasan itu menggunakan laluan Persiaran Surian untuk ke tempat lain menyebabkan barisan kenderaan yang panjang untuk meelpas sekatan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, jalan tersebut semakin sesak setiap hari dengan pelbagai alasan diberi pemandu kenderaan untuk melepasi sekatan yang dilakukan itu.

“Seperti dijangkakan ramai ambil kesempatan keluar dengan pelbagai alasan, macam tadi apabila ditahan dia nak pergi beli barang di Pasar Taman Megah daripada sini, Kota Damansara.

“Hanya kerana kamu biasa beli di satu pasar yang jauh daripada rumah kamu, kamu biasa pergi situ juga. Sekarang bukan masa biasa, sebaliknya luar biasa dan kita kena sama-sama memainkan peranan untuk mencegah Covid-19,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada seorang seorang pemandu semasa memantau sekatan jalan raya di Persiaran Surian Kota Damansara-Damansara hari ini.

Jelas Nik Ezanee, pemandu kenderaan itu ditegur supaya tidak cuba menyebarkan virus sebelum diberi amaran dan diarahkan berpatah balik.

Tambah beliau, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba mengambil kesempatan untuk merayau-rayau tanpa tujuan.

Semasa sekatan beliau turut memberi amaran kepada seorang wanita yang cuba memberi alasan mahu ke pejabat untuk menandatangani cek pembayaran gaji pekerja.

Selain itu, amaran turut diberikan seorang individu memberi alasan mahu mengambil isterinya di tempat kerja dan seorang  mekanik mahu ke bengkel di Kota Damansara dan kesemua mereka diarahkan berpatah balik.

“Saya dah beri amaran, jangan paksa saya tahan mereka dan sudah meminta mereka berpatah balik ke rumah masing-masing.

“Ramai sudah beri alasan remeh sebegini sedangkan kerja boleh diselesaikan secara dalam talian, urusan perbankan semua dari rumah.

“Kepada syarikat-syarikat di luar ini saya sarankan supaya meminimumkan kerahan tenaga kerja untuk kerja penting sahaja (essential).

“Jangan hanya sebab kamu terlibat dalam sebarang industri penting misalnya industri kesihatan, ambil kesempatan kamu deploy (kerah) semua man power anda. So kita semua ada tanggungjawab bersama yang harus dipikul sepanjang pencegahan Covid,” katanya.

Setakat hari ini katanya, sebanyak 11 sekatan jalan raya telah dilakukan di Petaling Jaya dan polis sedang mengkaji untuk menambah jumlah sekatan jalan di beberapa lokasi utama.

“Setakat semalam 89 orang telah ditahan di sekatan jalan raya dan hari ini ada beberapa tangkapan dibuat di lokasi lain. dan ada juga telah didakwa di mahkamah dan dihukum penjara empat bulan,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.