KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengambil tindakan terhadap pihak yang memfitnahnya dengan mengaitkan kes kehilangan wang miliknya kelmarin dengan duit haram atau pun wanita yang dikatakan bersamanya seperti dalam gambar yang tular di media sosial masa ketika ini.
Katanya, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga menjelaskan, wang tunai yang hilang itu adalah milik beliau dan ibu bapanya yang mana kebanyakan daripada wang tersebut akan digunakan untuk mengubah suai rumah.
“Mereka juga telah membuat laporan polis berkenaan kehilangan wang tersebut. Sejumlah RM90,000 milik saya, RM50,000 milik ibu saya dan RM70,000 milik ayah saya.
“Majoriti wang itu dikeluarkan bagi tujuan pengubahsuaian rumah yang kami miliki bersama. Selainnya adalah untuk tujuan peribadi.
“Sampai sekarang saya tidak memiliki sebuah rumah. Dengan itu saya, Abuyah dan mama mengambil ketetapan untuk membeli rumah bersama.
“Saya berhasrat ingin pindah ke rumah tersebut selepas siap diubahsuai. (Ketika ini) rumah tersebut masih belum siap diubah suai, peralatan elektronik dan perabot semua belum dibeli lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika diminta menjelaskan kekeliruan berhubung jumlah sebenar wang yang hilang itu, Syed Saddiq berkata, jumlah yang dinyatakan dalam laporan polis sebelum ini adalah dalam bentuk anggaran sahaja.
“Disebabkan itulah saya katakan, biar polis siasat. Dalam laporan polis sebelum ini, saya menyatakan maksimum RM250,000 tetapi angka sebenar tidak dapat dipastikan kerana ibu bapa saya juga terlibat sama.
“Tetapi tiba-tiba ada media yang melaporkan wang tersebut adalah sebanyak RM200,000 dan ada yang menyebut RM250,000.
“Pelik,” katanya lagi.
Semalam, Syed Saddiq membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumahnya.
Beliau mendakwa kehilangan wang tunai berjumlah RM250,000 yang disimpan di dalam peti besi di dalam bilik beliau.
Mengikut laporan polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Muar itu, kali terakhir beliau melihat wang tersebut adalah pada 13 atau 14 Mac lalu, dan kehilangan disedari pada 29 Mac.
Ujarnya, tiada sebarang kesan umpil pada peti besi berkenaan manakala keadaan rumah serta biliknya juga kemas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Enam individu dipanggil rakam keterangan kes kehilangan duit Syed Saddiq – Polis