HULU LANGAT – Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, tiada sebarang insiden tidak diingini sekitar Sungai Lui ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang memasuki hari ketiga hari ini.
Menurut beliau, penduduk di sini akur akan arahan itu dan tidak menimbulkan sebarang provokasi.
“Sehingga hari ini, penduduk patuh kepada perintah PKPD, dan tiada sebarang aktiviti didalam kawasan radius 5 kilometer dan masyarakat sini akur, ikut arahan dan sentiasa berada di rumah,” katanya kepada media di pintu masuk sekatan kawalan sempena PKPD, di kawasan ini.
Jelas beliau lagi, pihaknya melakukan rondaan berkala sepanjang tempoh 24 jam sehari melibatkan 8 pegawai dan 53 anggota polis.
Ia bagi mengawal pergerakan lebih 3,900 penduduk di kawasan itu yang kini dilanda wabak Covid-19.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat edaran makanan kepada semua penduduk di kawasan itu sebanyak dua kali sejak Isnin lalu.
“Pada 30 Mac bantuan makanan telah dihantar oleh JKM dan dibantu oleh APM dan Rela,” tambah Ahmad Dzaffir.
Mengulas lanjut, pihaknya bersama pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan bancian dalam mengenalpasti penduduk yang mungkin dijangkiti Covid-19.
“Kita telah mulakan tugasan bantu pihak JKM untuk buat bancian di tiga buah kampung yang telah dikenalpasti berada di kawasan ini.
“Dijangka seluruh proses ini akan berakhir dalam tempoh tiga hari. Suspek yang didapati ada simptom positif Covid-19 akan dibuat saringan kali kedua di klinik desa Sungai Lui Batu 21,” katanya.
Isnin lalu, kerajaan menguatkuasakan PKPD di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.
Perintah yang berkuatkuasa mulai tengah malam 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah.
Ia ekoran KKM yang mengesahkan terdapat 71 kes positif Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat. -MalaysiaGazette