Home Nasional Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 diumum RM272.5 juta

Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 diumum RM272.5 juta

Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media berkenaan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di Kediaman Menteri Besar Selangor, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 01 APRIL 2020

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 bagi menangani Covid-19 Fasa Kedua yang membabitkan peruntukan berjumlah RM272.5 juta.

Amirudin berkata, dalam pakej kedua itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Tabung Khas Bantuan Covid-19, bermula dengan potongan gaji Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri serta pegawai anak-anak syarikat kerajaan negeri yang mencecah RM8.07 juta.

“Untuk Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, potongan gaji mereka sehingga 50 peratus. Manakala Ahli Dewan Negeri pula 30 peratus.

“Bagi pegawai-pegawai gred Jusa C ke atas dan anak-anak syarikat kerajaan negeri pula potongan gaji sebanyak 30 peratus,” katanya dalam perutusan khas Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di kediaman Menteri Besar Selangor, di di sini, hari ini.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Prihatin Fasa Pertama membabitkan peruntukan RM127.8 juta bagi membanteras wabak Covid-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Dengan pengumuman Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Kedua pada hari, ia menjadikan jumlah perbelanjaan bagi tujuan pakej rangsangan ekonomi di Selangor mencecah RM400 juta.

Menurut Amirudin, bagi menangani Covid-19 di Selangor, sebanyak RM1.344 juta diperuntukkan sebagai bantuan makanan percuma kepada barisan hadapan pegawai perubatan.

“Kerajaan Negeri juga menghargai sumbangan barisan hadapan pegawai perubatan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan petugas di hospital-hospital di negeri Selangor.

“Sejumlah RM1.344 juta diperuntukkan sebagai bantuan makanan percuma kepada mereka sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri Selangor juga memperuntukkan sehingga RM1.35 juta bagi membuat saringan Covid-19 secara besar-besaran khususnya di kawasan-kawasan merah (red zone).

“Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 5,000 orang rakyat Selangor dalam kawasan merah untuk menjalani saringan Covid-19,” katanya.

Sebagai menghargai barisan hadapan, Kerajaan Negeri Selangor juga memberikan Insentif Penjagaan Anak-anak Frontliner yang bertugas.

“Insentif ini membabitkan 2,500 keluarga dengan jumlah sebanyak RM1.5 juta. Setiap keluarga akan mendapat RM150 dan jumlah sebenar barisan hadapan kita kena dapatkan daripada agensi terbabit,” katanya.

“Setakat ini jumlah 2,500 keluarga barisan hadapan itu hanyalah anggaran kita,” katanya.

Petugas media juga katanya tidak dilupakan kerana mereka juga sebahagian daripada barisan hadapan dan sebanyak RM100,000 akan diperuntukkan kepada golongan ini.

“Mereka juga barisan hadapan iaitu media dan akhbar yang bertungkus-lumus untuk menyampaikan fakta dan maklumat kepada rakyat.

“Untuk menghargai petugas media dan petugas keselamatan sebanyak RM100,000 akan dibelanjakan untuk menyediakan makanan percuma kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette