Home Nasional Covid-19: Pesakit muda meninggal dunia kerana lambat dapat rawatan

Covid-19: Pesakit muda meninggal dunia kerana lambat dapat rawatan

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Dalam kalangan kematian akibat jangkitan Covid-19 terdapat pesakit muda meninggal dunia kerana lambat mendapatkan rawatan di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat golongan muda gagal ke hospital walaupun jangkitan Covid-19 telah dikesan pada peringkat awal.

“Kita juga ada kes kematian melibatkan pesakit muda, seperti pesakit yang berumur 34 tahun dan ada juga pesakit muda 27 tahun.

“Namun mereka (tampil rujuk rawatan) peringkat yang sangat lewat yang mana datang ketika jangkitan berada pada tahap tiga atau empat yang mana mereka mengalami pneumonia dan mengalami kesukaran untuk bernafas secara normal,” katanya pada sidang media hari mengenai penularan wabak Covid-19 hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini melaporkan pertambahan lima lagi kes kematian baharu berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 50 kes.

Ia kes kematian ke-46 (kes ke-2909) yang merupakan seorang lelaki warga negara tempatan berumur 37 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik dan rendah imuniti dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah Johor pada 28 Mac lalu tetapi disahkan meninggal dunia pada 31 Mac lalu pada jam 11.10 malam. – MalaysiaGazette

+ posts