NEW DELHI – Para juruterbang Syarikat Penerbangan Nasional India, Air India kini di ambang risiko mendapat jangkitan Covid-19 kerana terlibat misi membawa pulang rakyatnya yang terkandas di negara-negara yang terjejas akibat pandemik itu.
Namun mereka dipuji kerana mempertaruhkan nyawa untuk melakukan penerbangan lebih kerap bagi membawa pulang rakyatnya balik ke India dengan selamat.
Persatuan Eksekutif Juruterbang berkata, mereka diberi Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang mampu senang koyak untuk digunakan dalam misi menyelamatkan warganegara mereka di negara negara serata dunia.
Surat yang dihantar kepada syarikat Air India dan Kementerian Penerbangan awam menambah bahawa proses disinfeksi (atau penyahkuman (pesawat) tidak menepati amalan perindustrian antarabangsa.
“Kekurangan itu berkemungkinan akan mendedahkan setiap individu kepada serangan virus dan pencemaran peralatan sekaligus membawa risiko jangkitan Covid dalam kalangan krew kabin, penumpang dan orang awam,” dakwa surat tersebut.
Salah seorang juruterbang kanan tanpa mendedahkan identitinya berkata, mereka bersedia untuk berkhidmat untuk negara dan rakyat dalam keadaan bencana ini namun mendesak kerajaan supaya menyediakan perlindungan keselamatan yang terbaik untuk juruterbang dan krew kabin.
“Kami meletakkan keselamatan setiap orang dalam risiko semasa penerbangan termasuk ahli keluarga, penduduk di perumahan yang kami tinggal.
“Kami bangga dibandingkan dengan tentera kerana menjadi barisan hadapan membantu rakyat tetapi kamu mestilah menyediakan platform dan perlindungan terbaik untuk tentera anda,” tegasnya.
Bagaimanapun Jurucakap Air India berkata segala langkah perlindungan diambil syarikat untuk memastikan setiap kakitangannya disediakan dengan peralatan keselamatan yang lengkap dan berkualiti.-MalaysiaGazette