Home Nasional Ketepatan bacaan kit ujian antigen Korea Selatan hanya 56 peratus – Noor...

Ketepatan bacaan kit ujian antigen Korea Selatan hanya 56 peratus – Noor Hisham

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Ujian saringan koronavirus menggunakan kit ujian pengesanan antigen dari Korea Selatan hanya menunjukkan ketepatan bacaan sebanyak 56 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, analisis terhadap ketepatan bacaan kit ujian itu untuk 16,500 saringan Covid-19 dilakukan pasukan perubatan di Hospital Sungai Buloh.

“Bagaimanapun hasil ujian menggunakan kit antigen dari Korea Selatan itu hanya menunjukkan ketepatan bacaan sebanyak 56 peratus sahaja.

“Jadi kita menunggu dan akan menggunakan pembaca ‘flourescent’ yang mana mempu mendapatkan ketepatan antara 75 hingga 80 peratus cabaan ujian,” katanya dalam sidang media harian penularan wabak Covid-19 hari ini.

Terdahulu Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang melakukan tempahan tambahan 200,000 kit ujian itu sekiranya ia boleh menunjukkan bacaan yang tepat.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, Malaysia yang dijangka merekodkan kemuncak kes positif Covid-19 menjelang pertengahan April ini adalah sangat kritik dan perlu dihadapi semua.

“Kemuncak kes itu akan berlaku disebabkan kes import daripada rakyat kita yang akan balik dari luar negara pada tempoh ini.

“Ini kami ramalkan juga, lebih-lebih lagi rakyat Malaysia yang akan pulang dari luar negara dan akan dikuarantin 14 hari nanti.

“Atas tujuan itulah kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dan secara aktif dapat terus mengesan, menguji dan mengasingkan mereka terutama di kawasan titik panas.

“Sekiranya mahu ramalan WHO itu sekadar kekal sebagai ramalan, ia boleh dilakukan jika semua pihak bersatu memutuskan rantaian Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette